Khamis, 10 Jun 2021 | 9:16pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Kelantan umum inisiatif Jejak Amal COVID-19 Komuniti

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mengumumkan peruntukan berjumlah RM450,000 yang akan disalurkan melalui projek Jejak Amal COVID-19 Komuniti (JACK) bagi membantu golongan terjejas akibat pandemik COVID-19 sehingga wujud kumpulan 'asnaf segera'.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Datuk Mumtaz Md Nawi, berkata melalui projek itu, sebanyak 45 pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) akan menerima peruntukan RM10,000, bermula bulan ini.

"Krisis pandemik telah menyebabkan ketidakseimbangan ekonomi apabila ada rakyat yang menjadi 'asnaf segera' akibat hilang pendapatan, pekerjaan, perniagaan merosot dan sebagainya.

"Bagi meringankan beban golongan asnaf seperti ini, inisiatif JACK ialah antara mekanisme dan usaha terbaik supaya tiada golongan tercicir daripada mendapat bantuan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KeKWa), Ilvira Mohd Dasuki, berkata 200 penerima di setiap DUN dijangka menerima manfaat bawah inisiatif JACK. – BERNAMA

Berita Harian X