Khamis, 10 Jun 2021 | 8:26pm

YIDE peruntuk RM75,000 bantuan Pek Prihatin

SHAH ALAM: Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) memperuntukkan RM75,000 bagi bantuan Pek Prihatin yang akan diserahkan kepada golongan terkesan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Pengurus Besar YIDE, Nur Mohd Razali Abdullah, berkata pihaknya menerima sebanyak 2,000 permohonan untuk bantuan itu, setakat ini.

"Antara kriteria utama ditetapkan YIDE ialah individu atau ahli keluarga yang diberhentikan kerja akibat COVID-19

"Alhamdulillah, seramai 1,500 penerima akan menerima manfaat ini selepas disaring dan disemak kelayakan mereka," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, YIDE terpaksa menolak 500 permohonan kerana data tidak lengkap, khususnya nombor kad pengenalan, selain ada yang meletakkan nombor telefon bimbit yang tiada dalam perkhidmatan apabila dihubungi.

Katanya, setiap Pek Prihatin itu mengandungi barang keperluan asas seperti beras, mi segera, sardin, susu, gula, tepung, bihun, kicap dan teh uncang.

Beliau berkata, bantuan itu akan diserahkan di lima lokasi sekitar daerah Petaling, Klang, Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Gombak.

Lokasi terbabit ialah Pusat Dialisis MAIS di Shah Alam; Pusat Dialisis MAIS, Kapar; Pusat Dialisis MAIS, Sungai Besar; Pusat Dialisis MAIS, Kuala Selangor; serta Pusat Dialisis MAIS, Taman Melawati.

Nur Mohd Razali menjelaskan, pihaknya turut menetapkan masa kehadiran bagi setiap penerima supaya tidak berlaku kesesakan ketika mengambil Pek Prihatin di kaunter YIDE.

"Pihak yayasan mengucapkan terima kasih kepada semua penyumbang yang membolehkan bantuan ini disalurkan kepada golongan sasar.

"YIDE turut mengajak orang ramai supaya terus menyalurkan sumbangan ke Tabung Infaq Dana Musibah melalui pautan billplz https://yide.com.my/donations/infaq-dana-musibah/ atau sumbang terus ke akaun Yayasan Islam Darul Ehsan (Akaun Korporat) Bank Islam bernombor: 1223 40100 07330," katanya.

Beliau berkata, setiap sumbangan layak mendapat pelepasan cukai bawah Subseksyen 44 (6) Akta Cukai Pendapatan 1967 melalui resit rasmi YIDE.

Berita Harian X