Selasa, 1 Jun 2021 | 8:14am
Foto hiasan
Foto hiasan

Sabah perincikan ketetapan, SOP operasi perkhidmatan awam negeri

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri telah memutuskan beberapa ketetapan tertentu dan prosedur operasi standard (SOP) yang wajib dipatuhi semua penjawat awam ketika tempoh pelaksanaan sekatan pergerakan penuh di seluruh negara bermula hari ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan semalam, memperincikan ketetapan dan SOP terbabit.

Katanya, semua kementerian, jabatan, badan berkanun negeri, agensi kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) diarahkan beroperasi seperti biasa di mana kakitangan organisasi diwajibkan dengan kehadiran sekurang-kurangnya 60 peratus di pejabat masing-masing dan 40 peratus bekerja dari rumah (BDR).

"Penjadualan kerja terbabit harus mengambil kira perkhidmatan perlu, kebajikan, keselamatan dan penggiliran kakitangan.

"Penggunaan aplikasi dalam talian adalah diwajibkan dan diperluaskan untuk meminimumkan kehadiran pelanggan di kaunter dan pejabat kerajaan.

"Mesyuarat, kursus, seminar dan latihan secara bersemuka adalah tidak dibenarkan," katanya.

Selain itu, Safar dalam kenyataan media itu turut menegaskan, ketua jabatan diberi kuasa untuk menentukan penggiliran kakitangan yang perlu hadir ke pejabat dan BDR.

"Bagaimanapun, ketua jabatan boleh mengeluarkan arahan bekerja kepada mana-mana kakitangan di bawah jagaan masing-masing yang bersesuaian dengan keperluan perkhidmatan kerajaan dari semasa ke semasa.

"Semua ketua jabatan perlu memastikan perkara ini dipatuhi supaya tidak berlaku ,penularan COVID-19 di tempat kerja," katanya.

Beliau turut mengingatkan semua penjawat awam di Sabah agar mematuhi sepenuhnya SOP dari

Kementerian Kesihatan (KKM) dan arahan Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah setiap masa.

Berita Harian X