KUANTAN: Polis menafikan demontrasi atau mogok di sekatan Jalan Jabor, di sini hari ini, berikutan beberapa video yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, berdasarkan pemeriksaan dan pemantauan pihaknya di lokasi terbabit, tiada sebarang isu ketenteraman awam, demontrasi atau tindakan mogok.
Sebaliknya, katanya, sebilangan individu yang hadir ialah pekerja yang bekerja di Kuantan yang ingin mengambil gambar untuk memaklumkan kepada majikan.
"Selain itu, sebahagian pengguna jalan raya yang belum mengetahui berkaitan penutupan laluan dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di daerah Kuantan.
"Sebilangan individu lain yang hadir lebih kepada bertanya dan mengambil gambar," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mohamad Noor berkata, berikutan pengumuman PKPD di daerah Kuantan bermula hari ini hingga 7 Jun ini, keseluruhan laluan masuk ke daerah ini dilakukan sekatan jalan raya (SJR) termasuk beberapa laluan alternatif ditutup sepenuhnya.
Katanya, ia membabitkan Jalan Jabor-Jerangau, Jalan Jabor Lama-Alor Batu, Jalan Felda Neram-Bukit Kuantan dan Jambatan Tanjung Selangor-Cherok Paloh.
"Tindakan hebahan dan pemakluman dibuat melalui media dan Facebook Polis Kuantan, semalam.
"Tindakan bantuan tanda penutupan jalan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Kemaman, Terengganu melalui JKR Kuantan.
"Pemakluman juga dibuat kepada Bilik Gerakan Polis Kemaman, Pusat Kawalan Polis Kontinjen Terengganu dan Pusat Kawalan Polis Kontinjen Kelantan," katanya.
Berikutan pelaksanaan PKPD Kuantan, beliau berkata, polis bersama agensi penguat kuasa lain akan menjalankan pemantauan khususnya pematuhan prosedur operasi standard PKPD daerah Kuantan.
"Polis ingin menasihati masyarakat khususnya penduduk Kuantan supaya metatuhi segala arahan yang dikeluarkan dalam usaha memutuskan rantaian wabak COVID-19," katanya.