Ahad, 24 Januari 2021 | 2:27pm
Muhammad Fattah menyusun minyak masak paket di kedainya di Taman Masjid Tanah.
Muhammad Fattah menyusun minyak masak paket di kedainya di Taman Masjid Tanah.
Othman meletakkan kenyataan had pembelian minyak masak paket di kedainya di Kampung Ayer Hitam Pantai, Masjid Tanah.
Othman meletakkan kenyataan had pembelian minyak masak paket di kedainya di Kampung Ayer Hitam Pantai, Masjid Tanah.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri, Norena Jaafar.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri, Norena Jaafar.

Bekalan minyak masak paket di Melaka pulih

MASJID TANAH: Bekalan minyak masak paket bersubsidi di negeri ini pulih hari ini selepas mengalami kekurangan bekalan sejak dua minggu lalu.

Ia berikutan kerjasama syarikat pembungkus bahan masakan itu meningkatkan pengeluaran 100 peratus sejak minggu lalu berdasarkan arahan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri.

Pengarahnya, Norena Jaafar, berkata bekalan dikesan masuk ke dalam pasaran secara beransur-ansur sejak kelmarin dan mula memenuhi pasaran hari ini.

"Pemantauan pegawai penguat kuasa kementerian mendapati bekalan di kebanyakan pasar raya dan kedai runcit semakin pulih hari ini dan kami berharap peniaga mampu memastikan seorang pelanggan hanya dibenarkan membeli tiga paket," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan pengguna supaya tidak mengulangi tindakan membeli minyak masak paket dalam jumlah yang banyak seperti berlaku beberapa hari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 13 Januari lalu.

Katanya, tindakan seumpama itu akan kembali menyebabkan bekalan berkurangan.

KPDNHEP Melaka menetapkan peraturan mengehadkan pembelian hanya tiga paket minyak masak itu bagi setiap pengguna pada Khamis lalu berikutan masalah kekurangan bekalan.

Sementara itu, peruncit Othman Hassan, 63, berkata masih ada pelanggan ingin mendapatkan lebih tiga paket minyak masak.

"Saya terpaksa menjelaskan kepada mereka mengenai peraturan KPDNHEP dan Alhamdulillah mereka memahaminya bagi membantu pengguna lain untuk turut berpeluang mendapatkannya," katanya ketika ditemui di kedainya di Kampung Ayer Hitam Pantai, di sini.

Muhammad Fattah Amirullah, 21, berkata bekalan minyak masak di kedainya kembali stabil mulai semalam dengan tiga syarikat pembekal membuat penghantaran seperti dipesannya.

"Alhamdulillah, keadaan sudah kembali normal seperti sebelum dua minggu lalu dan pelanggan kembali membeli secara biasa berbanding terpaksa berebut siapa cepat dia dapat dua minggu lalu," katanya di kedainya di Taman Masjid Tanah, di sini.

Bagaimanapun, ada pelanggan yang mendakwa tidak tahu mengenai peraturan KPDNHEP dan mencuba mendapatkan lebih daripada tiga paket minyak masak, katanya.

Berita Harian X