Ahad, 3 Januari 2021 | 10:21pm

Tanah runtuh: Jalan Gua Musang - Lojing ditutup

GUA MUSANG: Jalan Gua Musang-Lojing ditutup kepada semua kenderaan berikutan tanah runtuh di Kilometer 92, dekat Lojing, di sini.

Jalan dua lorong itu dipenuhi bongkah batu, kayu dan lumpur selepas hujan lebat, dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang tadi.

Berpuluh-puluh kenderaan dari Gua Musang dan Lojing terkandas dan berpatah balik.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gua Musang, Deputi Superintendan Sik Choon Foo, berkata dua kenderaan pacuan empat roda dihanyutkan lumpur.

Jalan Lojing-Gua Musang ditutup selepas tanah runtuh, hari ini. - Foto NSTP/RAMLI IBRAHIM
Jalan Lojing-Gua Musang ditutup selepas tanah runtuh, hari ini. - Foto NSTP/RAMLI IBRAHIM

Katanya, tiada kemalangan jiwa kerana pemandu kedua-dua kenderaan sempat menyelamatkan diri.

"Tanah runtuh menyebabkan jalan tidak boleh dilalui semua kenderaan dan kerja pembersihan akan dilakukan seberapa segera," katanya ketika dihubungi hari ini.

Choon Foo berkata, kejadian bukit runtuh itu tidak membabitkan kampung Orang Asli.

Kenderaan pacuan empat roda dihanyutkan lumpur ketika hujan lebat dan tanah runtuh dekat Lojing, Gua Musang, petang tadi. - Foto NSTP/RAMLI IBRAHIM
Kenderaan pacuan empat roda dihanyutkan lumpur ketika hujan lebat dan tanah runtuh dekat Lojing, Gua Musang, petang tadi. - Foto NSTP/RAMLI IBRAHIM
Berita Harian X