Jumaat, 25 September 2020 | 8:08pm
SPAN hari ini mengesahkan terdapat pelepasan sisa terlarang ke dalam lurang pembentungan di sekitar kawasan Sungai Gong, Rawang. - NSTP/Fathil Asri
SPAN hari ini mengesahkan terdapat pelepasan sisa terlarang ke dalam lurang pembentungan di sekitar kawasan Sungai Gong, Rawang. - NSTP/Fathil Asri

SPAN sahkan ada pelepasan sisa terlarang di Sungai Gong

CYBERJAYA: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), hari ini mengesahkan terdapat pelepasan sisa terlarang ke dalam lurang pembentungan di sekitar kawasan Sungai Gong, Rawang yang menjadi antara punca pencemaran sungai itu.

SPAN berkata, pihaknya sudah menjalankan operasi mengesan pembuangan sisa terlarang yang menyebabkan kejadian pencemaran Sungai Gong, pada lewat malam semalam (24 September) bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK).

Operasi itu memeriksa empat lurang pembetungan di kawasan itu dan sampel air sisa di dalamnya diambil untuk ujian makmal bagi mengesan bahan buangan terlarang berkenaan, kata SPAN.

"Operasi mendapati berlakunya aktiviti pelepasan sisa terlarang ke dalam lurang pembetungan di sekitar kawasan berkenaan," kata SPAN dalam kenyataan hari ini.

Sabtu lalu, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menerima laporan insiden air Sungai Gong berwarna hitam tetapi tiada bau yang disyaki disebabkan pewarna dan menerusi siasatan lanjut, LUAS menemui pelepasan efluen berwarna dan berbuih, daripada discaj efluen loji rawatan kumbahan IWK GBK 134 area 5, di kawasan perindustrian Rawang.

SPAN berkata petugas IWK di Loji Rawatan Kumbahan Rawang Integrated Industrial Park pada Sabtu lalu mengenal pasti kemasukan buangan bukan kumbahan berwarna kuning ke dalam kebuk masuk loji berkenaan, yang menyebabkan IWK menghentikan pelepasan efluen dan melakukan operasi pembersihan loji.

Loji itu adalah jenis longkang pengoksidaan (Oxidation Ditch-OD) yang mempunyai kapasiti 11,106 penduduk setara meliputi kawasan perindustrian itu.

Menurut SPAN, loji rawatan kumbahan hanya direka bentuk untuk merawat air kumbahan dan tidak mampu merawat apa-apa bahan kimia atau sisa lain yang dilepaskan secara haram ke dalam jajaran paip pembetungan.

SPAN berkata, pembuangan sisa terlarang bukan kumbahan adalah satu kesalahan menurut Seksyen 61, Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA 2006).

"SPAN memandang serius terhadap mana-mana pihak termasuk industri yang membuang atau melepaskan air sisa bukan kumbahan ke dalam atau melalui sistem pembetungan kerana ia satu perbuatan jenayah," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X