Ahad, 13 September 2020 | 3:23pm

Johor lulus pakej rangsangan RM174.5 juta hadapi impak COVID-19

ISKANDAR PUTERI: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor sebulat suara meluluskan Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Negeri Johor 2020 berjumlah RM174.5 juta dalam mendepani wabak COVID-19.

Pakej rangsangan itu dibentangkan oleh Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad pada persidangan Khamis lalu.

Ia membabitkan sejumlah RM174.5 juta yang diperuntukkan untuk menjayakan pelaksanaan 54 inisiatif menerusi peruntukan kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Negeri Johor Siri 1 diumumkan pada 20 Mac lalu, memperuntukkan sebanyak RM2.292 juta, sekali gus memberi manfaat kepada 658 penerima menerusi empat inisiatif.

Ia termasuk membabitkan bantuan 'one-off' berjumlah RM1,000 kepada semua pesakit positif COVID-19 di Johor selain pemberian sebanyak RM2,000 kepada setiap keluarga waris mangsa yang meninggal dunia akibat wabak berkenaan.

Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Johor Siri 2 yang diumumkan lima hari selepas itu, iaitu 25 Mac lalu pula berjumlah RM 28.741 juta, memberi manfaat kepada 107,534 penerima yang membabitkan pembelian peralatan tambahan dan keperluan kesihatan kepada hospital negeri.

Sebanyak RM11.19 juta juga diperuntukkan untuk inisiatif Bantuan Ihsan Johor dan RM126.47 juta untuk inisiatif yang belum diumumkan lagi membabitkan sektor modal insan, pelancongan dan pembinaan.

Hasni ketika membentangkan pakej itu Khamis lalu, berkata ia adalah amat penting kepada Johor berikutan wabak COVID-19 memberi kesan besar kepada ekonomi negeri yang berdepan penutupan sempadan, ketidakstabilan politik selain kejatuhan harga minyak.

"Johor dan Malaysia tidak pernah berada dalam kedudukan segetir ini sejak kemerdekaan. Apatah lagi cabaran yang tidak boleh kita jangkakan bila ia akan berakhir dan bagaimana ia akan berakhir.

"Saya boleh katakan bahawa kita sedang berada dalam zaman ketidaktentuan. Saya akui bahawa untuk Johor keluar daripada permasalahan sekarang amatlah sukar.

"Namun Johor bingkas mengumumkan pakej rangsangan ekonomi sejak Mac lalu,ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, menjadikan negeri ini antara yang terawal yang mengumumkan pakej rangsangan ekonominya," katanya.

Pada pembentangan usul berkenaan Khamis lalu, seramai enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan dan pembangkang membahasnya, iaitu Dzulkefly Ahmad (PH-Kota Iskandar), Najib Lep (PAS-Bukit Pasir), Jimmy Puah Wee Tse (PH-Bukit Batu), Rosleli Jahari (PN-Johor Lama), Chew Chong Sin (PH-Mengkibol) dan Datuk Zahari Sarip (PN-Buloh Kasap).

Sesi penggulungan pakej itu hari ini oleh Hasni, diluluskan sebulat suara semua 56 ahli DUN.

Hasni yang juga ADUN Benut ketika menggulung usul pakej berkenaan berkata, kerajaan Johor yakin ekonomi negeri akan bangkit dengan sokongan dan muafakat erat ahli dewan dari PN dan Pakatan Harapan (PH).

"Kita yakin ekonomi Johor akan pulih kembali, dan diharapkan keadaan ekonomi akan lebih stabil dari sekarang, pada 2022 nanti, " katanya.

Sementara itu, Ketua Pembangkang DUN Johor, Aminolhuda Hassan berkata, blok pembangkang menyokong usul pakej rangsangan berkenaan dengan mengambil kira kepentingan rakyat khususnya Bangsa Johor.

Katanya lagi, PH tidak mahu menganggu segala kelancaran bantuan dan program kepada rakyat, apatah lagi mereka kini berhadapan kemelut pandemik COVID-19.

"Oleh sebab itu, kami PH menyokong pakej rangsangan dan bajet tambahan ini demi keutamaan rakyat secara khususnya," katanya kepada media.

Berita Harian X