Isnin, 13 Julai 2020 | 10:43am
Jalan Batu 6 Lukut, Seremban-Port Dickson dinaiki air pagi ini selepas hujan lebat lebih empat jam. - Foto Mohd Khidir Zakaria
Jalan Batu 6 Lukut, Seremban-Port Dickson dinaiki air pagi ini selepas hujan lebat lebih empat jam. - Foto Mohd Khidir Zakaria

Banjir kilat di Port Dickson

PORT DICKSON: Hujan lebat berterusan lebih empat jam menyebabkan beberapa kawasan di daerah ini dinaiki air menyebabkan banjir kilat pagi ini.

Antara kawasan yang terjejas ialah kawasan Lukut dan Bandar Springhill yang menyebabkan kesesakan teruk di kedua-dua arah jalan raya di kawasan Lukut.

Menurut penduduk Bandar Springhill, Murizan Mohamad, 43, dia terkejut apabila jalan di depan rumahnya sudah tenggelam ketika mahu keluar menghantar anaknya ke sekolah.

"Hujan lebat bermula awal pagi mungkin menyebabkan air melimpah dan depan rumah, jalan sudah dinaiki air hampir satu meter.

"Kawasan perumahan di sini pernah juga mengalami banjir kilat sebelum ini tetapi tidak seteruk ini," katanya.

Tinjauan di sekitar Batu 6, Lukut, beberapa kenderaan tersangkut dalam banjir kilat menyebabkan kesesakan lalu lintas di kedua-dua arah.

Seorang pengguna jalan raya, Abdul Fatah Zakaria berkata, dia terpaksa menggunakan lebuh raya untuk pergi ke Pasir Panjang kerana jalan lama sudah ditenggelami air.

"Kawasan di Batu 6, jalan Seremban-Port Dickson jarang air walaupun hujan lebat tetapi kali ini keadaan menjadi bertambah buruk kerana hujan masih tidak berhenti lebih empat jam.

"Keadaan ini mungkin kerana ketika ini air laut sedang pasang besar yang menyebabkan keadaan menjadi bertambah buruk," katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Port Dickson, Khairy Maamor berkata, dia akan terus memantau kawasan yang teruk dilanda banjir kilat akibat hujan tidak berhenti sejak jam enam pagi lagi dan pihaknya sedang mengumpulkan maklumat mereka yang terjejas dengan banjir.

Berita Harian X