Isnin, 8 Jun 2020 | 11:41am
Orang ramai mula membanjiri pantai peranginan Pengkalan Balak dan Padang Kemunting, Masjid Tanah berikutan PKPP yang diumumkan Perdana Menteri. -Foto NSTP/HAssan Omar
Orang ramai mula membanjiri pantai peranginan Pengkalan Balak dan Padang Kemunting, Masjid Tanah berikutan PKPP yang diumumkan Perdana Menteri. -Foto NSTP/HAssan Omar

Pantai peranginan kembali ceria

ALOR GAJAH: Bagaikan burung terlepas dari sangkar, orang ramai mula membanjiri pantai peranginan popular Pengkalan Balak dan Padang Kemunting, Masjid Tanah dekat sini, hari ini.

Pengumuman Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam, bukan setakat disifatkan sebagai kelonggaran, malah kebebasan yang amat dinantikan kebanyakan anggota masyarakat yang menerima kesan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan mulai 18 Mac lalu.

Selepas lebih dua bulan terpaksa berkurung dalam kediaman masing-masing, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang tamat Rabu ini dan digantikan dengan PKPP, seolah-olah 'membebaskan' anggota masyarakat untuk mengunjungi pantai yang indah itu.

Tinjauan di pantai berkenaan mendapati, orang ramai mengambil kesempatan sempena cuti umum sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk bersantai.

Selain mandi manda, orang ramai mula menikmati makanan dan minuman di warung sepanjang pantai berkenaan yang sebelum ini sepi tanpa pengunjung.

Kehadiran pengunjung itu jelas memberikan kelegaan kepada pengusaha chalet yang mengalami kerugian akibat jumlah tetamu yang merudum sepanjang PKP dilaksanakan.

Nor Afandi Abu Bakar, 54, berkata musim cuti persekolahan Mac lalu dan cuti sempena Aidilfitri kali ini ternyata amat pilu bagi pengusaha chalet dan inap desa di pantai Melaka Barat dari Tanjung Bidara hingga Kuala Linggi, di sini berikutan ketiadaan tetamu akibat pandemik berkenaan.

Jika pada cuti Aidilfitri tahun lalu dan tahun sebelumnya, tempat penginapan mereka dipenuhi tetamu dari pelbagai tempat, terutama Kuala Lumpur, kali ini mereka terpaksa menerima hakikat COVID-19 menyebabkan tiada sesiapa pun yang mahu mendaftar masuk.

Ia menyebabkan pantai sepanjang kira-kira 25 kilometer (km) itu amat sepi daripada gelak tawa riang tetamu yang mandi manda di gigi pantai seperti sebelum ini.

Beliau berkata, 17 pintu chalet milik ibunya Tijah Mydin, 76, dan kakaknya, Noraini, 56, di pantai Kampung Sungai Kertah, Pengkalan Balak sepi tanpa tetamu berbanding Aidilfitri tahun lalu dan sebelumnya.

"Setiap kali Aidilfitri sebelum ini, semua bilik habis ditempah tetamu dari pelbagai tempat seperti Kuala Lumpur, Pahang, Johor dan seumpamanya kerana apabila mereka berkunjung ke rumah saudara-mara di Masjid Tanah atau Alor Gajah, mereka mengambil peluang bermalam di chalet pantai ini.

"Lazimnya, mereka menginap dari hari raya kedua hingga hari raya ketujuh sempena cuti Aidilfitri tetapi kali ini, keadaannya sangat jauh berbeza dan sudah pastilah kami amat merindui keadaan penginapan sebelum ini," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap kelonggaran diberikan sepanjang PKPP bakal mendorong pantai berkenaan dipenuhi pengunjung semula, sekali gus memberi nyawa kepada perniagaan chaletnya.

Berita Harian X