Isnin, 18 Mei 2020 | 2:46pm

COVID-19: Johor catat 46 kes positif babitkan kanak-kanak

JOHOR BAHRU: Johor mencatatkan jumlah kumulatif 46 kes positif COVID-19 membabitkan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun daripada keseluruhan kes positif iaitu 668 kes, sehingga semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R Vidyanathan, berkata daripada jumlah 46 kes itu, ia termasuk tujuh kes membabitkan kanak-kanak berusia satu tahun ke bawah, selain 15 kes pula adalah kes aktif.

Bagaimanapun, daripada jumlah itu juga, 31 kes membabitkan kanak-kanak sudah sembuh dengan keseluruhan jumlah kes kumulatif sembuh di Johor adalah sebanyak 520 kes.

"Atas sebab itu, kerajaan negeri merayu kepada semua supaya jangan bawa anak-anak anda ke luar rumah tanpa sebab yang penting seperti pergi ke lokasi tumpuan awam. Sebaliknya, terus kekal di berada rumah.

"Selain itu, berkenaan operasi Perkhidmatan Kesihatan Pergigian di Johor ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB ) dan Pasca PKPB, kerajaan negeri menerima pelbagai pertanyaan daripada masyarakat yang bimbang dengan penularan COVID-19 tetapi pada masa sama, memerlukan perkhidmatan pergigian.

"Rekod menunjukkan terdapat penurunan ketara kedatangan pesakit luar pada Mac lalu (50,933 orang) berbanding dengan Januari lalu (68,413 orang) iaitu sebanyak 25.54 peratus penurunan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dengan purata kedatangan sekitar Januari hingga Mac dalam 60,000 pesakit setiap bulan.

"Di Johor, terdapat 60 klinik Pergigian Primer tetap dan 30 Klinik Pergigian lawatan untuk pesakit luar, selain terdapat 23 klinik Pergigian Pakar pelbagai disiplin," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mengikut norma baharu perkhidmatan pergigian, bilangan pesakit yang dibenarkan hadir pada satu masa adalah terhad daripada segi bilangan pesakit yang dirawat, selain masa menunggu dan rawatan pesakit disingkatkan.

"Proses kerja diubah bagi mengelakkan perawat pergigian dan pesakit terkena atau menyebarkan virus COVID-19, malah ada sebahagian dari rawatan pergigian elektif tidak dapat diberikan buat sementara waktu.

"Ketika ini, perkhidmatan pergigian yang disediakan terhad kepada kes-kes kecemasan," katanya.

Vidyanathan berkata, rawatan biasa seperti proses scaling (cuci gigi) dan tampalan mudah, atau pesakit tidak mengalami sebarang kesakitan atau masalah perubatan lain akan ditangguhkan buat sementara waktu sehingga keadaan menjadi terkawal dan stabil.

"Pesakit perlu membuat temu janji terlebih dahulu untuk mendapatkan tarikh pemeriksaan pergigian dan buat masa ini pesakit boleh menghubungi klinik pergigian terdekat menerusi telefon," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X