Khamis, 14 Mei 2020 | 12:14pm
Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong.
Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong.

Semua perkhidmatan awam negeri di Sabah beroperasi semula hari ini

KOTA KINABALU: Sabah memutuskan semua perkhidmatan awam kerajaan negeri akan beroperasi seperti biasa berkuatkuasa hari ini sehingga 9 Jun sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong, dalam kenyataan media hari ini berkata keputusan itu diambil untuk memastikan perkhidmatan kerajaan negeri berada pada tahap cekap dan berkesan.

"Semua kementerian, jabatan, agensi kerajaan negeri, badan berkanun negeri dan pihak berkuasa tempatan ( PBT ) hendaklah beroperasi seperti biasa dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah serta arahan dari semasa ke semasa.

"Kehadiran kakitangan di organisasi masing-masing hendaklah sekurang-kurangnya 60 peratus di pejabat masing-masing dan 40 peratus bekerja dari rumah. Penjadualan kerja hendaklah mengambil kira kebajikan, keselamatan dan penggiliran kakitangan.

"Selain itu, penggunaan aplikasi dalam talian digalakkan dan diperluaskan bagi meminimumkan kehadiran pelanggan di kaunter dan pejabat kerajaan," katanya.

Dalam kenyataan sama, beliau berkata ketua jabatan atau agensi dalam sesebuah organisasi diberikan kuasa untuk mengatur giliran kakitangan yang perlu hadir ke pejabat dan yang bekerja dari rumah.

"Bagaimanapun, ketua jabatan atau agensi boleh mengeluarkan arahan bekerja kepada mana-mana kakitangan di bawah jagaan masing-masing yang bersesuaian dengan keperluan perkhidmatan kerajaan," katanya.

Safar menegaskan semua ketua jabatan atau agensi diingatkan memastikan SOP keselamatan dan kesihatan dipatuhi sepenuhnya oleh kakitangan masing-masing bagi memastikan tidak berlaku penularan COVID-19 di tempat kerja.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X