Jumaat, 17 April 2020 | 10:57am
Datuk Safar Untong. - Gambar fail NSTP
Datuk Safar Untong. - Gambar fail NSTP

Sabah hadkan waktu operasi syarikat telko, kurier

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mengehadkan waktu operasi pusat khidmat syarikat telekomunikasi dan pos serta kurier sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong, berkata pusat khidmat syarikat telekomunikasi dibenarkan beroperasi tiga hari seminggu - Isnin, Rabu dan Jumaat bermula jam 9 pagi hingga 2 petang.

Kebenaran itu adalah seiring kelulusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dikehendaki memastikan SOP dipatuhi.

“Kerajaan negeri juga memberi kebenaran kepada syarikat pos dan kurier untuk beroperasi setiap hari bermula jam 6 pagi hingga 6 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Safar berkata keputusan berkenaan diambil dalam Mesyuarat Sabah COVID-19 Command Centre, semalam.

Kerajaan negeri juga memutuskan kargo di pelabuhan Sabah memiliki pelepasan ketika pelaksanaan PKP.

"Sabah Port Sdn Bhd melalui Kementerian Pembangunan Infrastruktur diberi pelepasan untuk mengeluarkan semua kargo dari gudang di semua pelabuhan negeri ini mulai 15 hingga 17 April, bagi mengelak kesesakan di gudang.

Bagaimanapun, kerajaan negeri tidak membenarkan kedai pajak gadai beroperasi berikutan ia tidak tersenarai sebagai “essential services”.

Berita Harian X