Khamis, 5 Disember 2019 | 11:51am
ANTARA ahli koperasi yang hadir pada Majlis Perasmian ‘IR 4.0: Rahsia Transaksi RM 24 Jam’, di Kuching, hari ini. - Foto L Manimaran
ANTARA ahli koperasi yang hadir pada Majlis Perasmian ‘IR 4.0: Rahsia Transaksi RM 24 Jam’, di Kuching, hari ini. - Foto L Manimaran

Gerakan koperasi perlu sesuaikan aktiviti perniagaan

KUCHING: Ahli koperasi di negeri ini perlu menyesuaikan semula kegiatan perniagaan mereka sejajar Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) bertujuan meningkatkan pulangan pendapatan.

Timbalan Ketua Pengarah Institut Koperasi Malaysia (IKM), Ramlan Kamsin, berkata gerakan koperasi tidak sepatutnya menolak perubahan dibawa IR 4.0, sebaliknya merebut peluang menggunakan teknologi ditawar untuk meningkatkan kecekapan dan produktiviti.

“Penggunaan teknologi juga meningkatkan imej koperasi itu sendiri dalam kalangan masyarakat. Penggunaan teknologi IR 4.0 perlu dibudayakan segera kerana bagi mencapai tahap profesionalisme koperasi,” katanya pada Majlis Perasmian ‘IR 4.0: Rahsia Transaksi RM 24 Jam’, di sini hari ini.

IR 4.0 dipacu tiga domain teknologi utama membabitkan fizikal, digital dan biologikal, merentasi sembilan tonggak IR 4.0.

Sembilan tonggak itu merangkumi simulasi dan realiti maya; integrasi sistem menegak dan melintang; industri ‘Internet of Things’ (IoT); keselamatan siber; pengkomputeran awan; pembuatan bahan tambahan; rantaian bekalan; analisis data raya dan automasi robot.

Ramlan ketika mengulas lanjut berkata, gerakan koperasi juga perlu berani meneroka peluang perniagaan baharu ke peringkat antarabangsa.

“Perkembangan revolusi ini amat memerlukan perubahan seiring dengan transformasi digital untuk memberi kelebihan daya saing. Revolusi ini menandakan kemunculan sistem siber fizikal membabitkan keupayaan baharu sepenuhnya bagi manusia, mesin dan kaedah baharu teknologi,” katanya.

Katanya, menjadi tanggungjawab IKM menghebahkan kepentingan IR 4.0 demi memastikan gerakan koperasi bergerak selari ke arah era digital dan tidak terus ketinggalan.

Berita Harian X