Isnin, 25 November 2019 | 11:07am
ABANG Johari Abang Openg.
ABANG Johari Abang Openg.

Kemas kini silibus latihan TVET sesuai keperluan semasa

KUCHING: Institusi penggerak sistem Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) perlu memastikan pengisian dan pengolahan silibus pendidikan serta latihan sentiasa dikemaskini.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata ia perlu kerana setiap program TVET harus sentiasa terkini dan memenuhi keperluan pasaran pekerjaan.

Malah, katanya, bidang latihan yang ditawarkan juga perlu disemak dan menjalani penjenamaan semula secara menyeluruh supaya terus kekal relevan.

“Lulusan TVET bakal menjadi tulang belakang dalam mengemudi negara ini menjadi negara maju berpendapatan tinggi.

“Kaedah pembelajaran TVET berasaskan amali yang mendedahkan penggunaan teknologi dengan meluas ketika latihan akan melahirkan tenaga kerja yang diperlukan sebagai pemangkin pertumbuhan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Ke-22, Pusat Kemahiran PPKS/Kolej Antarabangsa Teknologi Lanjutan Sarawak (I-CATS) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Datuk Seri Micheal Manyin Jawong dan Pengerusi PPKS merangkap Presiden Kolej i-CATS, Tan Sri Abdul Aziz Hussain.

Seramai 759 graduan pusat kemahiran itu menerima ijazah, diploma dan sijil masing-masing pada majlis berkenaan.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata langkah kerajaan untuk memperkasakan sistem TVET adalah satu pendekatan yang amat wajar lagi bermakna, selaras dengan hala tuju pembangunan negara dalam pelbagai sektor dan persediaan untuk menghadapi Industri Revolusi 4.0 serta Ekonomi Digital.

“Sistem TVET akan berupaya menjadi ejen perubahan dalam meningkatkan daya saing tenaga kerja tempatan serta ekonomi negara.

“Justeru, kita perlu memastikan pengisian dan pengolahan silibus pendidikan dan latihan yang diajar dalam setiap program TVET sentiasa terkini dan memenuhi keperluan pasaran kerja,” katanya.

Berita Harian X