Sabtu, 23 November 2019 | 3:26pm
PETUGAS memunggah barangan keperluan seperti beras dan air minuman ke dalam helikopter Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk dihantar ke enam pos bagi keperluan 982 keluarga Orang Asli. - Foto Ramli Ibrahim
PETUGAS memunggah barangan keperluan seperti beras dan air minuman ke dalam helikopter Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk dihantar ke enam pos bagi keperluan 982 keluarga Orang Asli. - Foto Ramli Ibrahim

Hantar bantuan makanan Orang Asli guna helikopter

GUA MUSANG: Berikutan laluan darat rosak teruk akibat hujan, sebanyak 5,100 kilogram makanan dan 3,724 botol air minuman terpaksa dihantar menggunakan helikopter ke enam pos Orang Asli membabitkan 982 keluarga, hari ini.

Bantuan kecemasan makanan berkenaan disampaikan kepada Orang Asli di Pos Simpor, Pos Pasik dan Pos Gob, di sini yang terjejas selepas tanaman mereka dimusnahkan gajah liar, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kelantan/Terengganu, Hashim Alang Abdul Hamid, berkata selain pos berkenaan, tiga pos lagi iaitu Pos Bihai, Pos Belatim dan Pos Balar turut menerima bantuan bekalan makanan sama sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh tahun ini.

Sebanyak sembilan penerbangan dilakukan Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bermula jam 11.14 pagi.

“Sebelum ini setiap kali musim tengkujuh, kita menghantar makanan menggunakan pacuan empat roda, namun selepas melihat laluan darat ke enam pos terbabit rosak teruk akibat hujan menyebabkan kita terpaksa memohon bantuan daripada bomba.

“Permohonan bantuan itu dibuat kerana tidak mahu bekalan makanan untuk masyarakat Orang Asli terjejas berikutan masalah laluan darat. Antara makanan yang dibekalkan kepada kaum itu ialah beras, minyak masak, tepung gandum, susu, gula serta biskut,” katanya di sini, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy, kelmarin mengarahkan supaya bantuan kecemasan dalam bentuk makanan disalurkan segera kepada masyarakat Orang Asli di Pos Simpor, Pos Pasik dan Pos Gob, di sini yang terjejas selepas tanaman mereka dimusnahkan gajah liar, baru-baru ini.

Selain itu, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dengan bantuan pelbagai agensi lain juga akan membantu memulihkan jaringan jalan di kawasan terbabit yang terjejas akibat banjir.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam, Unit Udara JBPM Pangkalan Subang, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Farhan Marzuki, berkata penerbangan yang menggunakan krew Agusta AW139 daripada Pangkalan Udara Subang bermula jam 11.14 pagi ke Pos Simpor.

“Operasi penerbangan yang diketuai, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd Hasrizal Kamaruzzaman dibantu Penolong Juruterbang, Penguasa Kanan Penguasa Bomba, Safri Rambli dijangka tamat jam 6 petang ini,” katanya.

Berita Harian X