Selasa, 22 Oktober 2019 | 1:23pm
Gunung Pulai. - Ihsan FB Persatuan Alam Sekitar Gunung Pulai
Gunung Pulai. - Ihsan FB Persatuan Alam Sekitar Gunung Pulai

JAS belum terima laporan EIA kuari Gunung Pulai

ALOR SETAR: Syarikat Yiked Holdings masih belum mengemukakan Laporan Impak Penilaian Alam Sekitar (EIA) bagi operasi kuari batu kapur miliknya di Gunung Pulai, Baling.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata tarikh akhir bagi penyerahan borang terbabit kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri adalah pada 22 September lalu.

“Susulan itu, JAS mengeluarkan surat pemakluman kepada tetuan Yiked Holdings pada 23 September bahawa laporan EIA masih belum dapat diluluskan.

“Proses pengambilan tanah penduduk sudah diselesaikan pada 7 Ogos lalu dan bagi penduduk yang membantah, kes akan dirujuk ke mahkamah untuk tindakan selanjutnya,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Abd Nasir Idris (PAS-Bayu) berhubung laporan EIA dan pengambilan tanah penduduk untuk tapak kuari Gunung Pulai.

Mukhriz berkata, beliau sudah melawat lokasi dan mengadakan perjumpaan bersama penduduk terbabit dengan aktiviti pelancongan Gunung Pulai.

Katanya, projek kuari akan mengganggu potensi pelancongan khususnya gua di kawasan berkenaan.

“Saya sudah mengemukakan cadangan kepada penduduk dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ketika ini kerajaan negeri menerima satu cadangan daripada Yiked Holdings.

“Kita faham sektor pelancongan dalam jangka pendek tidak boleh menyaingi hasil diperoleh daripada kerja kuari, namun kerajaan negeri serius menitikberatkan soal kelestarian alam sekitar dan potensi pelancongan.

“Saya perlu ambil masa untuk meneliti isu EIA dan cadangan mengenai pembangunan pelancongan, selain berbincang bersama Yiked Holdings dan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) adakah kita berpeluang mengubah tempat kuari supaya tidak mengganggu kawasan terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ketiga Abd Nasir berhubung perancangan kerajaan negeri untuk mengubah status projek kepada ekopelancongan.

Penduduk di sekitar Kampung Sungai Limau, Pulai, Padang Cik Mas memegang sepanduk bagi membantah projek kuari di Gunung Pulai, pada Februari lalu. - NSTP/Safuri Kamarudin
Penduduk di sekitar Kampung Sungai Limau, Pulai, Padang Cik Mas memegang sepanduk bagi membantah projek kuari di Gunung Pulai, pada Februari lalu. - NSTP/Safuri Kamarudin

Berita Harian X