Rabu, 16 Oktober 2019 | 4:11pm
PENGARAH Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan, Azrin Borhan (dua dari kiri) ketika ditemui pada Majlis Lelongan Awam Kenderaan Sita di JPJ Negeri Sembilan di Seremban, hari ini. - Foto Adzlan Sidek
PENGARAH Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan, Azrin Borhan (dua dari kiri) ketika ditemui pada Majlis Lelongan Awam Kenderaan Sita di JPJ Negeri Sembilan di Seremban, hari ini. - Foto Adzlan Sidek

70 peratus pemandu e-hailing NS belum ada PSV

SEREMBAN: Kira-kira 70 peratus daripada pemandu e-hailing di negeri ini, dikesan masih belum menduduki peperiksaan Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) dan belum mendapatkan lesen berkenaan walaupun sudah membuat permohonan.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan, Azrin Borhan, berkata ia berdasarkan pemeriksaan yang dijalankan pihaknya sejak Julai lalu.

“Bagaimanapun, pihak kami sehingga kini masih lagi mengambil pendekatan memberi amaran kepada pemandu supaya menyelesaikan proses untuk mendapatkan lesen itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Lelongan Awam Kenderaan Sita di JPJ Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya memberi masa kepada pemandu supaya menyelesaikan permohonan lesen PSV dengan turut membantu mereka menerangkan langkah yang perlu dilakukan.

Katanya, proses mendapatkan lesen itu tidak rumit dan jika tahu langkah yang betul, ia boleh diselesaikan dengan mudah.

“Ramai sudah memohon, namun kebanyakan daripada mereka masih tidak mendapat lesen kerana belum menyelesaikan beberapa perkara.

“Justeru, saya menasihatkan pemandu e-hailing di negeri ini supaya mengambil lesen PSV dengan kadar segera dan menyelesaikannya. Jika terdapat sebarang kerumitan, pihak kami sedia membantu,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan, pemandu e-hailing yang sudah menduduki PSV diberi kelonggaran daripada dikenakan tindakan penguatkuasaan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dilaporkan berkata, penguatkuasaan e-hailing tetap bermula pada 12 Oktober lalu kerana tempoh terlalu lama sudah diberikan kepada pemandu untuk mengikuti peraturan ditetapkan.

Malah, Pengarah Penguatkuasa JPJ, Khairul Anwar Bachok, dilaporkan berkata pihaknya akan ambil tindakan tegas terhadap pemandu e-hailing mulai 12 Oktober dan tidak akan teragak-agak untuk bertindak sekiranya mereka yang terbabit melanggar undang-undang.

Berita Harian X