Khamis, 1 Ogos 2019 | 12:37pm
HARIS (tengah) bergambar bersama peserta yang menyertai Program Kayuhan Santai Shah Alam Sempena Hari Kebangsaan 2019 anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam di Dataran Kemerdekaan Shah Alam. NSTP/Saddam Yusoff
HARIS (tengah) bergambar bersama peserta yang menyertai Program Kayuhan Santai Shah Alam Sempena Hari Kebangsaan 2019 anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam di Dataran Kemerdekaan Shah Alam. NSTP/Saddam Yusoff

1,000 Jalur Gemilang diedarkan di Shah Alam

SHAH ALAM: Kira-kira 1,000 Jalur Gemilang diedarkan peserta Program Kayuhan Santai Shah Alam sempena Hari Kebangsaan 2019 anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), pagi ini.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Haris Kasim, berkata seramai 300 peserta berkayuh sejauh 17 kilometer di sekitar bandar raya ini dengan membawa Jalur Gemilang untuk diserahkan ke empat lokasi terpilih.

Beliau berkata, mereka terdiri daripada ahli Kelab Basikal Shah Alam (KELAS), komuniti dan ahli kelab basikal di sekitar bandar raya ini serta peminat acara berbasikal.

“Peserta menyerahkan Jalur Gemilang di setiap perhentian ditetapkan, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 7, SK Seksyen 19, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan SMK Seksyen 9, di sini.

“Apabila tiba di lokasi, kita menyerahkan Jalur Gemilang dan memberikan kata-kata semangat untuk mengingati Hari Kemerdekaan Malaysia.

“Kita mahu menggalakkan mereka mengibarkan Jalur Gemilang di sekolah, rumah dan premis perniagaan untuk menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan serta semangat cintakan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum menyempurnakan pelepasan Program Kayuhan Santai Shah Alam sempena Hari Kebangsaan 2019 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, di sini.

Haris berkata, program itu bertujuan menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat, khususnya penduduk di bandar raya ini.

“Selain itu, ia adalah inisiatif MBSA untuk berganding bahu dengan warga Shah Alam meraikan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

“Program ini mendapat kerjasama pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Hikers Climbers dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Petaling Perdana,” katanya.

Beliau berkata, MBSA kerap menganjurkan acara berbasikal memandangkan ia menjadi gaya hidup masyarakat kini untuk beriadah, terutama bersama keluarga.

“MBSA melaksanakan pelbagai aktiviti berbasikal untuk melahirkan masyarakat sihat dan cergas, antara lain Kayuhan Malam sempena Sambutan Earth Hour, Kriterium Shah Alam dan Kayuhan Enduride.

“Aktiviti ini bukan saja dapat melahirkan warga sihat dan cergas, malah mengangkat Shah Alam sebagai Bandar Raya Sukan,” katanya.

Berita Harian X