Ahad, 23 Jun 2019 | 12:06pm
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan. - NSTP/L Manimaran
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan. - NSTP/L Manimaran

Wajib kemuka EIA sebelum melabur di Kuala Lawas

LAWAS: Pelabur yang berhasrat membina loji penapisan minyak dan gas di Kuala Lawas, di sini wajib mengemukakan kajian penilaian alam sekitar (EIA) untuk diteliti sebelum dibenarkan beroperasi.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, berkata perkara itu seiring dengan komitmen kerajaan negeri melindungi dan memulihara kelestarian alam sekitar, selain mengimbanginya dengan keperluan agenda pembangunan serta sosio-ekonomi.

“Ini bagi memastikan operasi syarikat pelabur terbabit tidak menjejaskan khazanah alam semulajadi kita, termasuk hidupan marin yang banyak terdapat di Perairan Kuala Lawas, khususnya berhampiran tapak projek berkenaan.

“Kita mahu memastikan ekosistem di kawasan terbabit tidak terjejas kerana menyedari komuniti nelayan setempat bergantung hidup kepada sumber perikanan dan hasil laut. Kita akan memastikan pembinaan loji penapisan minyak dan gas itu tidak menjejaskan pendapatan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Pelancaran Penanaman Tukun Di Persisir Pantai Lawas di Kampung Punang, di sini hari ini.

Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Ke-II Sarawak, berkata

usaha mewartakan kawasan seluas 13,981 hektar sebagai taman marin yang baharu bagi negeri ini sedang giat dilakukan.

Beliau menjelaskan sejumlah 17,000 hektar kawasan perairan pantai di negeri ini kini sedang dalam proses akhir diwartakan sebagai taman hidupan marin yang baharu, termasuk di Perairan Kuala Lawas.

“Ini bagi memastikan sumber perikanan, hidupan marin dan habitat asal di kawasan itu terus dilindungi. Ia juga diharapkan mampu mempromosikan Lawas sebagai destinasi eko-pelancongan berasaskan kepelbagaian biodiversiti marin yang tinggi seperti dugong, penyu, ikan lumba-lumba, burung berhijrah, terumbu karang, paya bakau dan rumput laut,” katanya.

Difahamkan, sebuah syarikat minyak dan gas dari luar negara menunjukkan minat melabur di Kuala Lawas, yang dijangka mampu memperkasakan pertumbuhan sosio-ekonomi di wilayah utara Sarawak.

Berita Harian X