Selasa, 28 Mei 2019 | 1:20pm
TINJAUAN pembinaan semula Jambatan Gantung Satok. - Foto Mohd Radzi Bujang
TINJAUAN pembinaan semula Jambatan Gantung Satok. - Foto Mohd Radzi Bujang

Jambatan tertua di Kuching muncul semula

PETRA JAYA: Selepas 15 tahun lenyap dari pandangan, Jambatan Gantung Satok, di sini dijangka kembali menjadi mercutanda Bandaraya Kuching, September ini.

Jambatan pejalan kaki itu yang dibina pada era pemerintahan Rajah Brooke itu pernah menjadi ikon bandar raya ini sebelum ia ditutup kepada laluan orang ramai pada 1992.

Selepas 12 tahun berselang, jambatan bersejarah merentangi Sungai Sarawak itu menyembah bumi pada 7 Oktober 2004.

Sejak itu, ramai yang menganggap jambatan yang memberi sumbangan besar dalam perkembangan Kuching sehingga muncul sebagai sebuah bandar raya itu akan lenyap selama-lamanya.

Namun pada 2017, Kerajaan Sarawak memberi khabar gembira terutamanya kepada pencinta sejarah serta penduduk Kuching yang ada menyimpan nostalgia di jambatan unik itu, apabila mengumumkan projek untuk membinanya semula.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg ketika mengumumkan projek itu dua tahun lalu berkata, jambatan itu wajar diwujudkan semula kerana ia mempunyai nilai sejarah yang tinggi.

Ia bukan sahaja bakal menjadi satu lagi daya tarikan pelancongan di Kuching, malah bakal menjadi simbol kegigihan rakyat Sarawak untuk mencapai pembangunan sejak zaman pemerintahan Brooke hingga hari ini.

Pembinaan semula Jambatan Gantung Satok akan memberi manfaat kepada pejalan kaki dari kawasan Satok ke pasar baharu di Medan Niaga Satok.

Projek ‘replika’ jambatan sepanjang 213 meter RM8.05 juta itu diselia Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dengan kerja bermula pada 19 September 2017.

Jambatan baharu dengan lebar tiga meter itu dibina mengikut piawaian British Standard (BS) termasuk menara dan blok utama bagi menempatkan kabel penggantungan dijadualkan siap pada 18 September ini.

Jambatan gantung Satok yang asal berukuran 130 meter panjang dan 2.3 meter lebar, menempatkan saluran paip dari tangki air dari Matang ke kawasan seberang Sungai Sarawak termasuk pusat bandar Kuching.

Pelan pembangunan jambatan itu sebenarnya dirancang Rajah Putih Ke-2, Charles Brooke pada 1902.

Namun, pelbagai kekangan timbul menyebabkan pembinaannya tertangguh hinggalah Charles meninggal dunia.

Anaknya, Charles Vyner Brooke yang menjadi Rajah Putih Ke-3, meneruskan hasrat untuk merealisasikan jambatan itu dan beliau mengupah arkitek terkemuka Eropah, A.S Lowe untuk mengetuai projek yang bermula pada 1923.

Dengan kos AS$52,000 jambatan berketinggian 18 meter dari aras Sungai Sarawak yang diimpikan Charles Brooke itu siap sepenuhnya pada 1926 seterusnya menjadi kebanggaan semua.

Berita Harian X