Rabu, 22 Mei 2019 | 2:25pm

Pulau Pinang lancar perkhidmatan cALLme CAB

GEORGETOWN: Perkhidmatan teksi di Pulau Pinang kini ditambah baik menerusi pelaksanaan sistem e-hailing melalui platform aplikasi, cALLme CAB.

Yang Dipertua Gabungan Persatuan Pemandu Teksi dan Pemandu Kereta Sewa Pulau Pinang, Mohamad Shahimi Hadzri, berkata cALLme CAB akan membantu membangunkan industri teksi, sekali gus membantu pemandu teksi yang menghadapi saingan teknologi akibat perkhidmatan e-hailing.

“Aplikasi cALLme CAB sebenarnya sudah dilancarkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) oleh Kementerian Pengangkutan pada Disember lalu, namun saya difahamkan perkhidmatan aplikasi itu digantung sementara di sana kerana menghadapi masalah dengan persatuan teksi.

“Namun, aplikasi cALLme CAB ini akan diteruskan di Pulau Pinang, dan negeri ini akan menjadi yang pertama melaksanakan perkhidmatan e-hailing bagi teksi,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Majlis Pelancaran Aplikasi cALLme CAB disempurnakan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, di ruang legar Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), di sini.

Mohamad Shahimi berkata, menerusi aplikasi cALLme CAB, pengguna boleh memilih untuk menaiki kenderaan jenis Bajet, Premium, atau kenderaan pelbagai guna (MPV).

Malah, katanya, pengguna juga boleh menyemak kadar tambang sebelum menaiki teksi, selain harga yang dipamer adalah mengikut kadar yang ditetapkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD)

“Sehingga kini, seramai 500 pemandu teksi Pulau Pinang sudah pun berdaftar dengan aplikasi cALLme CAB dan kita sasarkan semua pemandu teksi akan menyertai aplikasi ini dalam tempoh terdekat,” katanya.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, pihaknya percaya aplikasi cALLme CAB akan memberi saingan hebat kepada perkhidmatan e-hailing lain di negara ini.

Katanya, kerajaan negeri juga berjanji akan membantu mempromosikan penggunaan aplikasi cALLme CAB bagi menarik lebih ramai pengguna menggunakan perkhidmatan teksi di Pulau Pinang.

“Aplikasi cALLme CAB ini akan memberi saingan hebat kerana ia lebih selamat, di mana pengguna dan pemandu dilindungi insurans, selain kenderaan yang digunakan juga mematuhi semua syarat undang-undang yang ditetapkan,” katanya.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow (tengah) menampal pelekat CALLme CAB bersama Naib Presiden Koperasi Malaysia (Angkasa) Datuk Abdullah Jusoh (dua dari kiri) dan Ketua Persatuan Associate Associate Penang Mohamad Shahimi Hadzri (kanan) semasa pelancaran majlis di Komtar, Pulau Pinang. - Foto Mikail Ong
Ketua Menteri Chow Kon Yeow (tengah) menampal pelekat CALLme CAB bersama Naib Presiden Koperasi Malaysia (Angkasa) Datuk Abdullah Jusoh (dua dari kiri) dan Ketua Persatuan Associate Associate Penang Mohamad Shahimi Hadzri (kanan) semasa pelancaran majlis di Komtar, Pulau Pinang. - Foto Mikail Ong
Berita Harian X