Rabu, 8 Mei 2019 | 4:30pm
NOH Salleh bergambar bersama orang ramai pada Program Dungun Have Heart 2019 di galeri seni Banglo 606 di Kampung Sura, baru-baru ini. - Foto Ghazali Kori
NOH Salleh bergambar bersama orang ramai pada Program Dungun Have Heart 2019 di galeri seni Banglo 606 di Kampung Sura, baru-baru ini. - Foto Ghazali Kori

Dungun Have Heart 2019 kutip lebih RM11,000

DUNGUN: Program Dungun Have Heart 2019 bagi membantu umat Islam di Syria yang dianjurkan, galeri seni Banglo 606 di Kampung Sura baru-baru ini dapat mengumpul dana sebanyak RM11,387.

Program dua hari anjuran bersama Cinta Syria Malaysia (CSM) membabitkan beberapa pengisian termasuk pameran, kayuhan amal, melukis mural serta persembahan akustik oleh duta CSM, Noh Salleh dan Naquib Mohamad selain penampilan khas Amir Jahari dan Farancis Wolf.

Pengarah projek, Mohd Idzaidin Md Din, berkata pihaknya tidak menyangka menerima sambutan luar dugaan daripada pengunjung sekitar Kampung Sura dan Bandar Dungun.

“Kami sasarkan kutipan paling tinggi sebanyak RM5,000 sahaja tetapi ternyata sambutan dan sokongan pengunjung di luar jangkaan sehingga mampu mengumpul RM11,387 selama dua hari program berjalan.

“Lebih 3,000 pengunjung hadir pada program itu dan terbabit dengan pelbagai program dijalankan. Objektif penganjur untuk memberi kesedaran kepada pengunjung tercapai apabila orang ramai yang hadir berlumba-lumba menghulurkan bantuan sebaik sahaja kami melancarkan tabung CSM pada program itu,” katanya.

Mohd Idzaidin berkata, pihaknya berasa terharu apabila program yang berkonsepkan moden dan menyasarkan golongan belia itu turut menarik penyertaan pelbagai peringkat umur.

“Kami ingatkan hanya pelajar dan belia sahaja yang akan memenuhi bahagian hadapan pentas ketika Noh Salleh membuat persembahan, tetapi golongan berusia juga turut serta menikmati persembahan akustik duta CSM pada malam akhir program itu.

“Sambil berhibur, penonton diberikan kesedaran mengenai penderitaan penduduk Syria menyambut Ramadan dan segala sumbangan amat diharapkan mereka supaya boleh menjalankan ibadah puasa itu sebaik mungkin,” katanya.

Menurutnya, program berkenaan lebih bermakna dan memberi kesan mendalam kepada pengunjung dan penonton persembahan apabila seramai 30 anak-anak Syria termasuk penjaga dibawa khas bagi memeriahkan program.

“Perkongsian kisah sedih mereka pada program itu membuka mata banyak pihak untuk menghulurkan sumbangan sekali gus objektif program berkenaan berjaya dicapai,” katanya.

Berita Harian X