Rabu, 2 Januari 2019 | 2:38pm
ANTARA kerja baik pulih dan penyelenggaraan laluan pendakian di Gunung Angsi yang dilakukan antara 3 Disember lalu sehingga hari ini. - Jabatan Perhutanan
ANTARA kerja baik pulih dan penyelenggaraan laluan pendakian di Gunung Angsi yang dilakukan antara 3 Disember lalu sehingga hari ini. - Jabatan Perhutanan

Trek pendakian Gunung Angsi lebih cantik

KUALA PILAH: Selepas hampir sebulan ditutup untuk kerja naik taraf, trek pendakian Gunung Angsi berhampiran Hutan Lipur Ulu Bendol, di sini, yang dibuka semula sejak semalam, kini dilihat lebih menarik.

Seiring dengan namanya yang semakin popular dalam kalangan pendaki tempatan dan luar, terutama Lembah Klang, Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan berusaha memastikan dua laluan pendakian di gunung berkenaan sentiasa selamat.

Pegawai Hutan Daerah Negeri Sembilan Timur, Mohd Rizal Razali, berkata jabatan itu turut proaktif menyediakan beberapa kemudahan yang lebih baik bagi memastikan pendaki dapat menikmati pengalaman menarik di situ.

“Antara penambahabaikan yang dilakukan ketika penutupan trek bermula 3 hingga 31 Disember lalu ialah pembinaan wakaf yang baharu menggantikan pondok lama yang uzur di puncak gunung.

ANTARA kerja baik pulih dan penyelenggaraan laluan pendakian di Gunung Angsi yang dilakukan antara 3 Disember lalu sehingga hari ini. - Jabatan Perhutanan
ANTARA kerja baik pulih dan penyelenggaraan laluan pendakian di Gunung Angsi yang dilakukan antara 3 Disember lalu sehingga hari ini. - Jabatan Perhutanan

“Kita juga membina pondok dan kerusi di beberapa ‘check point’ di sepanjang laluan terbabit, terutama di kawasan yang mempunyai pemandangan cantik bagi membolehkan pendaki berehat dan bergambar,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Mohd Rizal berkata, selain itu pihaknya mengganti dan menambah tali serta tangga besi di beberapa kawasan sesuai di sepanjang dua trek pendakian yang masing-masing bermula di Jalan Lama Bukit Putus dan Hutan Lipur Ulu Bendol itu.

Katanya, beberapa kawasan trek yang rosak dan licin juga sudah diperbaiki, terutama di kawasan curam.

Beliau berharap pendaki dapat meneruskan budaya pendakian yang sihat termasuk mendaftar dengan pihaknya di kaki gunung sebelum memulakan pendakian bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Kita menempatkan pegawai bertugas seawal jam 6 pagi di kaki gunung. Pendaki yang datang lebih awal perlu meninggalkan maklumat diri termasuk nombor telefon dan kita akan hubungi mereka untuk tujuan keselamatan,” katanya.

Beliau menasihatkan semua pendaki, terutama yang datang bersama kanak-kanak supaya membuat persediaan sewajarnya termasuk memakai pakaian sesuai dan membawa makanan serta minuman mencukupi selain alat pertolongan cemas asas.

Berita Harian X