Sabtu, 29 Disember 2018 | 3:35pm
Rasathurai Chelliah diumumkan sebagai jutawan bagi cabutan istimewa November BSN SSP bernilai RM1 juta. - NSTP/Owee Ah Chun
Rasathurai Chelliah diumumkan sebagai jutawan bagi cabutan istimewa November BSN SSP bernilai RM1 juta. - NSTP/Owee Ah Chun

Tuah warga emas bawa pulang RM1 juta

KUALA LUMPUR: Siapa sangka, tuah menyebelahi seorang warga emas, Rasathurai Chelliah, 78, apabila diumumkan sebagai jutawan bagi cabutan istimewa November Bank Simpanan Nasional Sijil Simpanan Premium (BSN SSP) bernilai RM1 juta.

Beliau yang menyimpan sejak 20 tahun lalu menganggap ia sebagai satu kejutan istimewa kerana tidak pernah menyangka akan menerima hadiah begitu bernilai.

“Sebelum ini memang saya ada menerima hadiah cabutan, namun tidaklah sebesar mana. Tetapi kali ini jumlahnya sangat besar dan saya belum ada apa-apa perancangan selanjutnya.

“Saya menyimpan di BSN SSP dengan menggunakan wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan tidak pernah terfikir mengenai cabutan bertuah ini.

“Saya menyimpan dan hanya menikmati pulangan yang diberikan oleh BSN saja memandangkan saya berseorangan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Cabutan BSN SSP, dekat sini, hari ini.

Pada majlis itu juga, seorang warga emas, Zaitun Md Ali, 69, turut menerima cabutan bulanan sebuah kereta BMW 318i dan langsung tidak menyangka akan menerima kereta mewah itu.

Zaitun menerima cabutan bulanan sebuah kereta BMW 318i. - NSTP/Owee Ah Chun
Zaitun menerima cabutan bulanan sebuah kereta BMW 318i. - NSTP/Owee Ah Chun

“Lebih 10 tahun saya menyimpan di BSN SSP, dan pada bulan lalu, saya ingin mengeluarkan sedikit simpanan untuk membeli motosikal.

“Tetapi pegawai di situ menasihati saya untuk turut menyimpan lagi di BSN SSP. Alhamdulillah saya menerima hadiah bernilai ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif BSN, Datuk Yunos Abd Ghani berkata, sehingga November ini, BSN SSP mendapat sambutan menggalakkan dengan lebih 2.9 juta orang penyimpan dengan nilai simpanan melebihi RM3.28 bilion.

Katanya, sebagai sebuah bank dimandatkan oleh kerajaan untuk menggalakkan masyarakat menyimpan, BSN SSP adalah antara produk ditawarkan dengan skim simpanan unik dengan tawaran ganjaran hebat kepada yang bertuah.

“BSN SSP 2018 sudah sampai penghujungnya dan keseluruhan jumlah ganjaran bernilai RM20 juta sudah diberikan kepada pemenang. Kini BSN giat mempromosikan BSN SSP Special Edition (BSN SSP SE) bermula 15 Disember hingga 31 Mac ini dengan kadar keuntungan sehingga 2.5 peratus.

“Bagi tahun 2019, BSN SSP menawarkan hadiah cabutan istimewa RM1 juta sehingga November dan RM2 juta pada Disember. Ini adalah peluang orang ramai menyimpan untuk mendapat ganjaran lumayan,” katanya.

Orang ramai yang ingin membuat simpanan BSN SSP boleh melakukan di kaunter cawangan BSN, mesin pengeluaran wang automatik (ATM), mesin deposit tunai (CDM) dan perbankan internet di myBSN.

Berita Harian X