X
Khamis, 29 November 2018 | 2:34pm
KONTRAKTOR Bumiputera yang hadir pada sesi taklimat dan pendaftaran kontraktor Projek 'Enhanced Malaysia International Internet Gateway' (EM-IIG) di Johor Bahru.
KONTRAKTOR Bumiputera yang hadir pada sesi taklimat dan pendaftaran kontraktor Projek 'Enhanced Malaysia International Internet Gateway' (EM-IIG) di Johor Bahru.

Projek EM-IIG manfaat 2,000 kontraktor Bumiputera

JOHOR BHARU: Projek 'Enhanced Malaysia International Internet Gateway' (EM-IIG) yang menawarkan internet jalur lebar berkelajuan tertinggi di dunia dengan kadar harga terendah, bakal memanfaatkan sekurang-kurangnya 2,000 kontraktor Bumiputera di negara ini.

Setiausaha Bahagian Perancangan Korporat, Kementerian Kerja Raya, Zureen Zubir, berkata projek milik Xiddig Cellular Communications Sdn Bhd (XIDDIG) itu juga satu-satunya projek swasta yang membabitkan kontraktor bumiputera secara menyeluruh.

Projek berkenaan dianggarkan bernilai RM5.45 billion, membabitkan pemasangan kabel gentian optik dasar laut berkelajuan 150 Terabait.

"Projek pemasangan kabel di Johor sahaja bakal menelan belanja sebanyak RM560 juta meliputi jarak 870 kilometer (km) bagi fasa 1 dan 4,500km bagi fasa 2 yang akan diumumkan kelak," kata Zureen.

Beliau berkata demikian pada sesi taklimat dan pendaftaran kontraktor projek berkenaan di sini, semalam.

ZUREEN Zubir (kanan) dan Abdul Rashid pada sesi taklimat dan pendaftaran kontraktor Projek 'Enhanced Malaysia International Internet Gateway' (EM-IIG) di Johor Bahru.
ZUREEN Zubir (kanan) dan Abdul Rashid pada sesi taklimat dan pendaftaran kontraktor Projek 'Enhanced Malaysia International Internet Gateway' (EM-IIG) di Johor Bahru.

Projek di Johor bakal membabitkan 200 kontraktor Bumiputera berdaftar untuk kerja-kerja pemasangan kabel gentian optik daratan di negeri terbabit.

Yang hadir sama, Pengerusi Eksekutif XIDDIG, Datuk Seri Abdul Rashid Abdul Rahim.

Projek membabitkan kabel gentian optik dasar laut berkelajuan 150 Terabait disambung dari hab internet antarabangsa Hong Kong ke stesen pendaratan kabel (Cable Landing Station) di Bintulu, Sarawak; Papar, Sabah; Pengerang, Johor; Batu Kawan dan Batu Maung, Pulau Pinang dan Tok Bali, Kelantan.

Internet berkelajuan tinggi di Johor, antara lain bakal memberi perkhidmatan untuk industri minyak dan gas di Pengerang khususnya.

Ia juga bakal memanfaatkan sektor korporat untuk akses terpantas selain program “Fiber to The Home” (FTTH) dengan kelajuan 500mbps sehingga 1.0gbps kepada semua pengguna lain.

Berita Harian X