Khamis, 8 November 2018 | 6:24pm
KETUA Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menerima dokumen belanjawan negeri, Belanjawan 2019 bertemakan Memacu Pertumbuhan Berpaksikan Rakyat daripada Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan negeri, Datuk Pengiran Hassanel Pengiran Mohd Tahir di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), Kota Kinabalu. - Foto Malai Rosmah Tuah
KETUA Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menerima dokumen belanjawan negeri, Belanjawan 2019 bertemakan Memacu Pertumbuhan Berpaksikan Rakyat daripada Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan negeri, Datuk Pengiran Hassanel Pengiran Mohd Tahir di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), Kota Kinabalu. - Foto Malai Rosmah Tuah

Belanjawan pertama kerajaan pimpinan WARISAN garis pendekatan baharu

KOTA KINABALU: Belanjawan pertama yang akan dibentangkan kerajaan pimpinan Parti Warisan Sabah (WARISAN) esok bakal menyaksikan beberapa pendekatan baharu untuk melaksanakan pembangunan dalam suasana ekonomi dan kewangan yang terhad serta mencabar.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata kerajaan negeri menyediakan belanjawan yang menyeluruh sejajar komitmen untuk membela rakyat negeri ini meskipun berdepan kekangan ekonomi dan kewangan.

“Esok kita akan membentangkan belanjawan Sabah dan ini adalah belanjawan yang pertama dibentangkan kerajaan diketuai WARISAN. Kita berharap sudah mempertimbangkan (belanjawan) sebaik mungkin berlandaskan kewangan yang terbatas dan ekonomi dunia serta negara yang mencabar.

“Yang penting kepada kita ialah untuk memastikan supaya jangan kita abaikan dan tinggalkan usaha membela rakyat di semua peringkat dengan sebaik mungkin. Peringkat pertama ini sekurang-kurangnya kita akan gubal satu pendekatan untuk mengukuhkan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima dokumen belanjawan negeri, Belanjawan 2019 bertemakan Memacu Pertumbuhan Berpaksikan Rakyat daripada Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan negeri, Datuk Pengiran Hassanel Pengiran Mohd Tahir yang akan dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) petang esok.

Mohd Shafie bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah peruntukan dalam belanjawan berkenaan dan sama ada ia adalah belanjawan lebihan atau defisit, namun menyatakan kemungkinan ada pemberian istimewa untuk golongan muda dan belia.

Ditanya sama ada kerajaan negeri turut memperkenalkan cukai jualan baharu dalam Belanjawan 2019, beliau berkata perkara itu akan diketahui esok.

Dalam hal lain, Mohd Shafie berkata dakwaan mengenai 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan yang kononnya akan menyertai pembangkang Gabungan Bersatu Sabah (GBS) seperti disebarkan dalam media sosial beberapa hari lalu hanya spekulasi semata-mata.

“Itu spekulasi mereka...setakat ini banyak yang bersama saya tapi kita tak tahu mereka (GBS) mungkin banyak duit mahu beli, mungkin betul atau tidak..tapi saya yakin mereka (ADUN kerajaan) sudah matang,” katanya.

Mohd Shafie berkata, kerajaan negeri juga akan menimbangkan kemungkinan meminta anggota Kabinet negeri mengisytiharkan aset seperti dilakukan kerajaan persekutuan.

“Ia bertujuan supaya kita lebih telus tapi yang penting dapat pastikan Sabah dibangunkan dan rakyat dibantu. Kita tak mahu berlaku rasuah, sekurang-kurangnya kita tahu di mana kita bermula,” katanya.

Berita Harian X