Selasa, 11 September 2018 | 6:45pm
PEGAWAI Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman menunjukkan najis gajah dan pokok pisang yang musnah diserang gajah di Kampung Tepus Jerangau. - Foto Rosli Ilham
PEGAWAI Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman menunjukkan najis gajah dan pokok pisang yang musnah diserang gajah di Kampung Tepus Jerangau. - Foto Rosli Ilham

Angkara gajah

DUNGUN: “Sangka saya ribut malam tadi punca pokok pisang dan kelapa sawit tumbang, namun sebaik masuk ke kebun saya dapati ia angkara gajah,” kata Hamad Zabir Mat Hasan, 60, selepas tanamannya di Kampung Tepus, Jerangau, musnah, pagi tadi.

Hamad Zabir berkata, beliau ke kebunnya kira-kira jam 11 pagi dan terkejut mendapati sebahagian tanaman pisang dan sawitnya musnah.

“Saya menanam pokok sawit dan pisang di atas tanah berkeluasan 2.4 hektar dan semua tanaman itu akan mengeluarkan hasil pada bila-bila masa.

“Kejadian ini menyebabkan pokok sawit dan pisang saya musnah dan saya mengalami kerugian kira-kira RM5,000,” katanya ketika ditemui NSTP.

Beliau percaya kumpulan gajah yang menyerang kebunnya itu melebihi lima ekor berikutan terdapat banyak najis gajah di situ.

“Saya bersama lima lagi pekebun sawit dan pisang di kawasan ini bimbang kumpulan gajah itu akan kembali mengganas.

“Kami amat berharap pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) mengambil tindakan segera,” katanya.

Hamad Zabir berkata, sebagai langkah awal, beliau bersama lima pekebun lain akan membuat kawalan bermula malam ini bagi menghalau gajah terbabit daripada terus menceroboh kebun mereka.

Sementara itu, Pegawai Penyelaras kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman, berkata beliau sudah melaporkan kejadian itu kepada PERHILITAN untuk diambil tindakan.

Beliau berkata, serangan gajah di kampung itu adalah yang pertama berlaku.

“Tahun ini, kumpulan gajah terbabit merosakkan tanaman penduduk di Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS) dan Bukit Besi.

“Kali ini kumpulan itu terus menceroboh tanaman di Kampung Tepus pula dipercayai untuk mencari makanan,” katanya.

Berita Harian X