Sabtu, 2 Jun 2018 | 1:39pm
KETUA Menteri, Chow Kon Yeow bersalaman dengan orang ramai ketika hadir pada Majlis Pemberian Insentif Perkhidmatan Teksi dan Bas 2/2018 di Georgetown, hari ini. - Foto Danial Saad
KETUA Menteri, Chow Kon Yeow bersalaman dengan orang ramai ketika hadir pada Majlis Pemberian Insentif Perkhidmatan Teksi dan Bas 2/2018 di Georgetown, hari ini. - Foto Danial Saad

Insentif teksi, bas sekolah dikaji semula

GEORGETOWN: Kerajaan Pulau Pinang mempertimbangkan untuk mengkaji semula kaedah pemberian dan jumlah insentif diberikan kepada pemandu teksi dan operator bas sekolah di negeri itu.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, ia berikutan pelaksanaan pengagihan insentif bernilai RM600 yang dilakukan dua kali setahun sebelum ini, dilihat kurang praktikal bagi pemandu teksi dan operator bas sekolah.

"Saya sudah kemukakan cadangan untuk majlis ini (penyerahan insentif) diadakan sekali saja setahun dan idea itu akan dilakukan jika ia dipersetujui.

"Insentif bernilai RM600 ini juga kita sedang mempertimbangkan sama ada jumlahnya kekal atau ditambah," katanya ketika merasmikan Majlis Pemberian Insentif Perkhidmatan Teksi dan Bas 2/2018 di sini, hari ini.

Terdahulu, Kon Yeow yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang turut mengagihkan insentif berjumlah RM300 kepada 2,995 pemandu teksi dan operator bas sekolah di Dewan Sri Pinang, di sini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Zakiyuddin Abdul Rahman serta EXCO Perdagangan Dalam Negeri dan Antarabangsa, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan negeri, Datuk Abdul Halim Hussain.

Sementara itu, Yang Dipertua Gabungan Persatuan Pemandu Teksi dan Kereta Sewa negeri, Abd Malek Darus mendesak kerajaan Persekutuan membatalkan perkhidmatan e-hailing bagi pengendali Grabcar.

Katanya, kerajaan Persekutuan sebaliknya perlu mengguna pakai perkhidmatan berkenaan ke atas semua pemandu teksi di negara ini bagi memastikan kelangsungan industri itu.

"Saya lihat industri Grabcar ini 'membunuh' masa hadapan dan pendapatan pemandu teksi.

"Saya akui perkhidmatan mereka (Grabcar) lebih murah berbanding teksi tetapi apa akan jadi kepada kami?

"Kami juga akui ramai pemandu teksi tidak menggunakan meter ketika mengambil penumpang berikutan kadar tidak masuk akal dikenakan ke atas kami sekali gus menimbulkan masalah sedemikian," katanya.

Ends.....

Berita Harian X