Rabu, 30 Mei 2018 | 1:26pm
PROF Madya Dr Aniza Ibrahim (tengah) menyampaikan sumbangan duit raya kepada penghuni Rumah Nur Sakinah (RNS) ketika hadir memberi bantuan sempena bulan ramadan di RNS Taman Subang Murni Shah Alam. - Foto Mohd asri Saifuddin Mamat
PROF Madya Dr Aniza Ibrahim (tengah) menyampaikan sumbangan duit raya kepada penghuni Rumah Nur Sakinah (RNS) ketika hadir memberi bantuan sempena bulan ramadan di RNS Taman Subang Murni Shah Alam. - Foto Mohd asri Saifuddin Mamat
GELAGAT penghuni Rumah Nur Sakinah (RNS) ketika membantu mengangkat barang sumbangan yang disumbangkan oleh UPNM kepada di RNS Taman Subang Murni Shah Alam. - Foto Mohd asri Saifuddin Mamat
GELAGAT penghuni Rumah Nur Sakinah (RNS) ketika membantu mengangkat barang sumbangan yang disumbangkan oleh UPNM kepada di RNS Taman Subang Murni Shah Alam. - Foto Mohd asri Saifuddin Mamat

Fakulti Kejuruteraan UPNM bantu penghuni Rumah Nur Sakinah

SHAH ALAM: Seramai 35 anak yatim dan golongan asnaf serta anak terbiar daripada Rumah Nur Sakinah (RNS), hari ini, menerima sumbangan sempena sambutan Aidilfitri.

Sumbangan itu adalah inisiatif pensyarah dan kakitangan sokongan Fakulti Kejuruteraan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang mengumpul wang sendiri bagi membahagiakan kanak-kanak di rumah itu.

Ketua Jabatan Kejuruteraan Awam UPNM, Prof Madya Dr Aniza Ibrahim, berkata sumbangan itu adalah hasil duit yang dikumpulkan oleh tiga jabatan di Fakulti Kejuruteraan universiti itu iaitu Kejuruteraan Awam, Elektrik dan Mekanikal.

"Kami berpakat untuk kumpul duit kami sendiri. Kumpul duit bersama-sama lebih seronok dan secara tidak langsung sumbangan akan jadi banyak walaupun tidaklah sebesar mana.

"Hari ini, kita beri sumbangan makanan, baju raya dan kelengkapan rumah. Kita turut menyerahkan wang tunai dan duit raya sumbangan individu," katanya kepada pemberita.

Sumbangan itu diserahkan kepada pengurus rumah berkenaan, Shafiyah Azmi di RNS di Jalan Zuhrah, Taman Subang Murni, Bandar Pinggiran Subang, di sini.

Aniza berkata, program sumbangan itu dicetuskan Penolong Pendaftar di fakulti berkenaan.

"Kadang-kadang kami nak beri sumbangan tetapi tidak tahu nak serahkan kepada siapa. Jadi, kami sepakat kumpul wang ringgit dan buat program seperti.

"Ini anjuran kali pertama UPNM. Insya-Allah kami akan teruskan program seperti ini. Mungkin nanti kami akan ajak pelajar UPNM bersama. Minggu ini mereka sibuk dengan peperiksaan," katanya.

Beliau yang mewakili Fakulti Kejuruteraan bersama pensyarah dan kakitangan yang lain turut meluangkan masa beramah mesra dan melayan anak-anak di RNS.

Sementara itu, Shafiyah yang mewakili RNS mengucapkan terima kasih atas sumbangan dan kunjungan daripada Fakulti Kejuruteraan UPNM.

"Alhamdulillah, atas sumbangan hari ini. Semoga mereka dan penyumbang sentiasa dimurahkan rezeki dan diberikan kesihatan yang baik," katanya.

Berita Harian X