Selasa, 17 Oktober 2017 | 4:18pm
KAKITANGAN Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar bergotong royong memasak hidangan bubur asyura pada Program Bubur Asyura dan Solat Hajat Perdana Sempena Ketibaan Muharram di Perkarangan HPSF, Muar.
KAKITANGAN Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar bergotong royong memasak hidangan bubur asyura pada Program Bubur Asyura dan Solat Hajat Perdana Sempena Ketibaan Muharram di Perkarangan HPSF, Muar.

Masjid Negara puji HPSF laksana mesra ibdah

MUAR: Pengurusan Masjid Negara memuji komitmen berterusan yang dilaksanakan oleh Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini sebagai hospital yang mesra ibadah.

Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Ismail Muhammad, berkata pihak sememangnya bersetuju dengan konsep yang dilaksanakan oleh HPSF sejak 2011 kerana ia juga secara tidak langsung mampu memberi terapi kepada pesakit yang menerima rawatan di sini.

"Mengenai konsep hospital mesra ibadah ini, kita memang bersetuju kerana dari segi lain ia boleh memberi kesan positif kepada pesakit. Ini kerana jika kira sakit, kita lupa membuat ibadah khususnya solat.

"Ini kerana selagi kita waras, selagi itu ibadah solat menjadi wajib kepada umat Islam. Selain itu, kita dianjurkan untuk berdoa dan berwirid yang boleh diamalkan oleh pesakit dalam memohon supaya disembuhkan penyakit oleh Allah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Lawatan Mahabbah Masjid Negara dan Penyampaian Sumbangan Kepada Pesakit di HPSF di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah HPSF, Dr Selahuddeen Abdul Aziz; Timbalan Imam Besar Masjid Negara, Mamat Said dan Penolong Pengarah Kanan Unit Dakwah Masjid Negara, Hafiz Abdul Aziz.

Terdahulu, Ismail bersama rombongan Masjid Negara turut melakukan lawatan ke wad ortopedik HPSF untuk kunjungan mesra dan menyampaikan sumbangan kepada pesakit yang menerima rawatan di hospital berkenaan.

Sementara itu, Dr Selahuddeen berkata, konsep hospital mesra ibadah di HPSF sudah dilaksanakan sejak 2011 yang dilakukan bagi membolehkan pesakit dapat melakukan ibadah dengan lebih mudah dan selesa.

"Menerusi konsep itu, HPSF turut menyediakan kit ibadah solat seperti botol penyembur air wuduk, debu tayamum, risalah ketika sakit dan arah kiblat di setiap wad yang terdapat di hospital ini.

"Selain itu, laungan azan juga diadakan setiap kali masuk waktu solat dan juga kita turut mengadakan bacaan doa pada setiap pagi bagi memotivasikan pesakit yang menerima rawatan di sini.

"Kakitangan HPSF turut diajar cara dan kaedah untuk membantu pesakit bersuci dan bersolat menerusi kursus yang diadakan setiap tahun," katanya.

Berita Harian X