Isnin, 7 Ogos 2017 | 4:11pm
DATUK Ayub Rahmat. - Foto Mohd Azren Jamaludin
DATUK Ayub Rahmat. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Perlu berdaftar sebelum selam di Johor

MERSING: Kerajaan Johor akan menyediakan kertas kerja dan memperincikan prosedur memastikan penyelam tempatan dan luar negara perlu berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) selain memiliki perlindungan insurans sebelum menyelam di Taman Laut Sultan Iskandar (TLSI).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor, Datuk Ayub Rahmat, berkata mengambil kira titah Sultan Ibrahim Iskandar mengenai perkara itu, kerajaan negeri akan segera menyiapkan kertas kerja berhubung prosedur berkenaan.

Katanya, usaha dan penambahbaikan itu bagi memastikan ekosistem termasuk batuan karang di TLSI terus dipelihara selain memastikan tiada berlakunya pencerobohan nelayan dan penyelam haram.

"Kita juga akan melakukan penguatkuasaan bersama agensi yang terbabit termasuk Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Perikanan, Perbadanan Taman Negara Johor dan sebagainya.

"TLSI yang meliputi kawasan yang luas ini juga kawasan habitat dugong dan semua penguatkuasaan agensi ini dapat memastikan tiada pencerobohan dalam kawasan ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri program restorasi karang dan menandatangani pengesahan pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi program penanaman anak karang terbesar serentak 1Malaysia di Pulau Tinggi, hari ini.

Program disempurnakan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar yang berkenan melakukan aktiviti menyelam dan melengkapkan restorasi 1,200 anak karang di Pulau Mentinggi di sini.

Ayub berkata, sebanyak 13 pulau di kepulauan Mersing sudah diwartakan sebagai TLSI dan sebanyak lapan pulau tidak berpenduduk di kepulauan itu sedang dalam cadangan untuk diwartakan bagi meluaskan TLSI.

Menurut Ayub, bagi menaik taraf kemudahan Pulau Tinggi pula, sebanyak RM8.47 juta sudah diluluskan bagi pembinaan jeti baru dan membaikpulih pusat penetasan penyu.

Berita Harian X