Selasa, 3 Januari 2023 | 3:58pm

Pemilihan jawatan UMNO dibincang Khamis ini

KUALA LUMPUR: Pemilihan kepemimpinan UMNO akan dibincangkan dalam mesyuarat bulanan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Khamis ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata perkara itu boleh dibincangkan bersama keputusan menjemput parti dalam Kerajaan Perpaduan, bagi menghadiri Perhimpunan Agung UMNO, minggu depan.

"Perkara ini kita akan bincangkan pada mesyuarat bulanan MKT, Khamis ini. Dan, malam ini akan diadakan mesyuarat pengurusan parti dipengerusikan Timbalan Presiden (Datuk Seri Mohamad Hasan), juga bincangkan perkara itu," katanya dalam sidang media Perhimpunan Agung UMNO, di sini, hari ini.

Berdasarkan pindaan perlembagaan UMNO tahun lalu, pemilihan parti akan diadakan dalam tempoh enam bulan selepas pilihan raya umum (PRU), seperti ditetapkan dalam pindaan Perlembagaan UMNO.

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sebelum ini meluluskan usul pindaan Perlembagaan UMNO yang diputuskan parti itu sebelum ini.

Kelulusan itu menyaksikan pemilihan UMNO di semua peringkat diadakan tidak boleh lebih daripada enam bulan, selepas diadakan sesuatu PRU untuk kerusi Parlimen.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan (kiri). - Gambar NSTP/MOHD YUSNI ARIFFIN
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan (kiri). - Gambar NSTP/MOHD YUSNI ARIFFIN

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di Kuala Lumpur. - Gambar UMNO
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di Kuala Lumpur. - Gambar UMNO
Berita Harian X