Isnin, 19 September 2022 | 12:37pm
Rozi (tengah), Tengku Mahari (kiri) dan Fadhillah (kanan) selepas mempengerusikan mesyuarat persiapan Wanita, Pemuda dan Puteri peringkat bahagian, semalam. -Foto NSTP/Baharom Bakar
Rozi (tengah), Tengku Mahari (kiri) dan Fadhillah (kanan) selepas mempengerusikan mesyuarat persiapan Wanita, Pemuda dan Puteri peringkat bahagian, semalam. -Foto NSTP/Baharom Bakar

BN Terengganu belum muktamadkan senarai calon PRU-15

KUALA TERENGGANU: Barisan Nasional (BN) Terengganu belum memuktamadkan senarai calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Rozi Mamat, berkata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Said pada mesyuarat perhubungan parti Rabu lalu, sudah meminta semua Ketua UMNO bahagian mengemukakan lima calon bagi setiap DUN dan Parlimen untuk dihantar kepada pimpinan tertinggi.

"Mesyuarat kerja tertinggi parti di peringkat negeri sudah memutuskan semua bahagian menghantar lima nama calon untuk bertanding di kerusi DUN dan Parlimen.

"Itu adalah keputusan terkini selepas semua ketua bahagian UMNO sudah mengemukakan tiga nama calon untuk dipertimbangkan bertanding pada PRU akan datang," katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat persiapan parti di peringkat Wanita, Pemuda dan Puteri serta bahagian yang dijangka bermula bulan depan.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua UMNO bahagian Hulu Terengganu, Tengku Mahari Tengku Chik, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO negeri, Tengku Haphiz Tengku Putera dan Ketua Pergerakan Puteri Bahagian, Wan Khatijah Wan Bakar.

Rozi yang juga Ketua Bahagian UMNO Hulu Terengganu, berkata demikian bagi mengulas kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, yang dilaporkan pihaknya sudah menerima senarai calon daripada badan perhubungan UMNO negeri untuk PRU-15.

Ketika mengulas kemungkinan UMNO akan menampilkan calon wanita untuk bertanding pada PRU-15, Rozi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, berkata semua ketua bahagian UMNO sudah diarahkan mengemukakan senarai nama calon termasuk wanita, pemuda dan orang lama.

Katanya, BN akan menampilkan gabungan jalinan muka baharu, orang muda, wanita dan orang lama untuk disenaraikan sebagai calon bagi menghadapi PRU akan datang.

"Ciri-ciri calon terdiri daripada individu berpengalaman dan pelbagai latar belakang, paling utama adalah calon boleh menang dan diterima penduduk setempat," katanya.

Berita Harian X