Khamis, 25 Ogos 2022 | 1:05pm

PRU-15: PBM tidak letak calon di Sarawak, kedudukan Larry Sng jadi tanda tanya

KUCHING : Parti Bangsa Malaysia (PBM) mengesahkan tidak meletakkan calon di Sarawak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ahli Parlimen Ampang yang juga Presiden menanti parti itu, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, keputusan itu dibuat kerana pihaknya akan menyertai Barisan Nasional (BN).

"Kami masih menunggu kelulusan selepas permohonan sudah dimajukan untuk menyertai BN.

"BN tiada di Sarawak, bermakna PBM tidak akan meletakkan calon di negeri ini pada PRU-15," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pelancaran produk lada hitam di sini, hari ini.

Kenyataan Zuraida itu sekali gus menimbulkan tanda tanya berhubung kedudukan Presiden PBM yang juga Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien, pada PRU-15.

Larry memenangi kerusi Parlimen Julau ketika bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Beliau menewaskan penyandang kerusi itu Datuk Joseph Salang Gandum dengan majoriti 1,931 undi.

Sejurus memenangi kerusi itu, beliau kemudian menyertai PKR pada 2018 dan dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri pada 2020.

Beliau kemudiannya meletak jawatan dan keluar daripada PKR pada 28 Februari 2021 dan menjadi Ahli Parlimen Bebas yang menyokong Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin melancarkan produk lada hitam - Foto Nadim Bohari/NSTP
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin melancarkan produk lada hitam - Foto Nadim Bohari/NSTP

Berita Harian X