Jumaat, 5 Ogos 2022 | 5:01pm
Dari kiri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul, Shahril Hamdan dan Datuk Mohd Imran Tamrin.
Dari kiri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul, Shahril Hamdan dan Datuk Mohd Imran Tamrin.

3 'senjata' BN rampas Selangor

SHAH ALAM: Gandingan tiga pemimpin dalam kalangan anak jati Selangor akan menjadi 'senjata' Barisan Nasional (BN) Selangor untuk merampas kembali negeri ini dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Selain Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul yang baru dilantik sebagai Bendahari BN negeri, dua lagi adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin dan Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan.

Ketua Komunikasi BN negeri, Datuk Seri Jamal Md Yunos, berkata rakyat Selangor sememangnya mengidamkan muka baharu untuk mengetuai kepemimpinan negeri.

Beliau mengakui, sambutan positif diterima daripada rakyat berhubung keputusan Tengku Zafrul untuk menjadi calon BN di Selangor.

"Nama beliau bukan asing kerana jawatannya dalam Kabinet kerajaan membuatkan anak kelahiran Kuala Selangor itu sentiasa mendapat publisiti berterusan di media massa.

"Selain Tengku Zafrul, saya melihat dua lagi permata (Mohd Imran dan Shahril Hamdan) yang semakin bersinar dan dekat di hati rakyat. Mereka ini sangat berpotensi diketengahkan sebagai calon boleh menang PRU-15," katanya melalui kenyataan semalam.

Jamal menegaskan, Mohd Imran dan Shahril Hamdan yang masih dalam lingkungan usia 30-an mampu mengepalai generasi muda untuk tempoh 30 atau 40 tahun akan datang, dengan pelbagai pelan jangka panjang dan visi demi kesejahteraan negara dan negeri ini.

"Kedua-dua individu ini sudah lama dalam arena politik Selangor, malah menjadi ikon sebahagian generasi muda kerana kecemerlangan dalam akademik dan kerjaya profesional," katanya.

Memberi contoh Mohd Imran, Jamal berkata, ADUN Sungai Panjang itu adalah seorang peguam dan perbahasannya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) sering menuntut pembelaan kepada isu rakyat di seluruh Selangor.

"Kemampuan untuk menang dengan majoriti 2,084 ketika majoriti calon BN tumpas akibat tsunami politik pada PRU-14 lalu, membuktikan beliau (Mohd Imran) mempunyai aura tersendiri dan mampu pergi jauh sekiranya diberi peluang," katanya.

Beliau berkata, Shahril Hamdan pula kini menjawat jawatan Pengarah Ekonomi di Pejabat Perdana Menteri dan mempunyai latar akademik cemerlang dalam bidang ekonomi.

"Anak kelahiran Shah Alam ini pernah mendapat biasiswa Bank Negara Malaysia dan biasiswa Chevening Komanwel British untuk melanjutkan pelajaran peringkat Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana di University of Manchester di United Kingdom.

"Kepakarannya dalam bidang sosio-ekonomi membuatkan beliau lantang memperjuangkan isu kapasiti dan peluang masa depan golongan profesional muda Malaysia, khususnya mewakili lapisan masyarakat kelas rendah dan menengah," katanya.

Berita Harian X