Jumaat, 1 Julai 2022 | 5:21pm
Pengarah dan pelakon terkenal yang juga Ketua PKR Cabang Ampang, Datuk Hans Isaac. - Foto fail NSTP
Pengarah dan pelakon terkenal yang juga Ketua PKR Cabang Ampang, Datuk Hans Isaac. - Foto fail NSTP

Dakwaan salah laku, Hans Isaac serah kepada JPP

KUALA LUMPUR: Pengarah dan pelakon Datuk Hans Isaac menyerahkan kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR berhubung dakwaan salah laku membabitkan dirinya sepanjang pemilihan parti itu, baru-baru ini.

Hans yang memenangi jawatan Ketua PKR Cabang Ampang berkata, tuduhan itu sudah dijangka dan beliau sedia dipanggil oleh JPP.

"Tak apa, nanti kita akan buat kenyataan. Dalam politik macam-macam boleh berlaku. Kita tunggu...biar saya dipanggil dahulu oleh JPP dan biar mereka buat siasatan semuanya.

"Kita ikut proses yang betul, apa yang sepatutnya dilakukan, saya tahu surat itu datang daripada siapa, memang mereka sudah merancang benda (tuduhan) itu," katanya kepada BH, hari ini.

Hari ini tular sepucuk surat dialamatkan kepada JPP PKR mendakwa Hans terbabit dengan politik wang ketika pemilihan parti itu bagi Cabang Ampang pada 29 Jun lalu.

Berdasarkan surat itu, Hans dan wakilnya didakwa 'membeli undi' melalui pengecaman gelang tangan bercetak 'Ayuh Ampang Baru'.

Dalam pada itu, Hans menyifatkan kemenangannya di kawasan berkenaan sebagai kejayaan semua pihak.

Katanya, beliau berterima kasih kepada semua akar umbi yang memberi mandat kepadanya untuk menerajui cabang berkenaan.

"Ini satu kemenangan bagi semua pihak di Ampang, bukan hanya saya sebab calon-calon lain pun menang. Mungkin tumpuan kepada saya tetapi kita kena ingat di mana ahli lain yang bertanding, turut menang.

"Saya bersama mereka untuk mengetuai cabang Ampang, saya berterima kasih kepada akar umbi dan terima kasih kepada sistem demokratik parti untuk akar umbi memilih siapa mereka inginkan," katanya.

Pemilihan PKR bagi cabang Ampang diadakan semula selepas pemenangnya, Daing Muhammad Reduan Bachok didapati terbabit dalam kegiatan membeli undi oleh JPP.

Susulan pemilihan semula, Hans diangkat sebagai Ketua Cabang baharu selepas menewaskan pesaingnya yang juga penyanyi rap Altimet dengan perbezaan dua undi.

Berdasarkan keputusan di laman sesawang Pemilihan PKR 2022, Hans memperoleh 748 undi manakala pencabar terdekatnya mendapat 746 undi.

Berita Harian X