Khamis, 9 Jun 2022 | 3:55pm
Larry menyerahkan kad keahlian PBM kepada Zuraida, hari ini. - NSTP/FATHIL ARSI
Larry menyerahkan kad keahlian PBM kepada Zuraida, hari ini. - NSTP/FATHIL ARSI

PBM minta PM kekalkan Zuraida sebagai Menteri

KUALA LUMPUR: Parti Bangsa Malaysia (PBM) meminta Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempertimbang untuk mengekalkan Datuk Zuraida Kamaruddin sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Presidennya, Larry Sng, berkata Perdana Menteri wajar berbuat demikian kerana Zuraida menunjukkan prestasi memberangsangkan sepanjang menjalankan tanggungjawabnya sebagai menteri.

Namun, katanya, beliau menghormati sebarang keputusan Ismail Sabri berhubung perkara itu, berikutan pelantikan dan pemilihan anggota Kabinet adalah prerogatif Perdana Menteri.

"PBM adalah sebahagian daripada Keluarga Malaysia dan kami menyokong Perdana Menteri, itu jelas.

"Dari segi keputusan berhubung jawatan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, kami serahkan sepenuhnya kepada Perdana Menteri kerana ini prerogatifnya.

"Namun, PBM berharap beliau akan mengekalkan Zuraida untuk memegang jawatan itu berdasarkan prestasinya, serta sokongan diberikan oleh PBM," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Zuraida dan Setiausaha Agung PBM, Nor Hizwan Ahmad.

Dalam pada itu, Larry mengesahkan PBM sudah memulakan usaha untuk menyertai Barisan Nasional (BN), namun perkara berkenaan masih belum diputuskan oleh BN.

Beliau berkata, PBM telah menyuarakan hasrat menyertai gabungan politik itu, dan akan menghantar surat permohonan rasmi untuk tujuan berkenaan, tidak lama lagi.

"Ini (permohonan menyertai BN) adalah satu proses yang kami sudah mulakan. Kita perlu menunggu jawapan, dan beri sedikit masa untuk mereka mempertimbangkan serta berbincang," katanya.

Sementara itu, Zuraida ketika ditanya berhubung pertemuannya dengan Perdana Menteri pula, Ahli Parlimen Ampang itu memaklumkan tarikh perjumpaan itu belum ditetapkan memandangkan Ismail Sabri masih sibuk ketika ini.

"Saya belum mendapat tarikh kerana Perdana Menteri masih sibuk. Sekarang, beliau berada di Kedah untuk menghadap Sultan Kedah. Saya masih menunggu," katanya ringkas.

Berita Harian X