Khamis, 9 Jun 2022 | 2:26pm
(Gambar fail) Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin. - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
(Gambar fail) Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin. - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR

Zuraida sah ahli PBM, dilantik 'Presiden pengganti'

KUALA LUMPUR: Parti Bangsa Malaysia (PBM) mengumumkan keputusan untuk melantik Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin, sebagai 'Presiden pengganti' parti itu.

Presiden PBM, Larry Sng, berkata ia hasil persetujuan sebulat suara yang dicapai dalam mesyuarat Biro Politik dan Majlis Tertinggi parti berkenaan, hari ini.

Beliau sekali gus mengesahkan PBM menerima permohonan Zuraida yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, untuk menyertai parti itu, berkuat kuasa hari ini.

Katanya, pelantikan Zuraida sebagai Presiden PBM secara rasmi akan berkuat kuasa selepas Mesyuarat Agung dan pindaan Perlembagaan parti itu yang dijangkakan pada Ogos depan.

Pada masa sama, beliau berkata, PBM memberi mandat kepada Zuraida untuk mengetuai delegasi parti itu dalam pertemuan serta rundingan dengan pemimpin parti lain, terutama bagi perbincangan membentuk kerjasama politik.

"Selepas mendapat persetujuan semua ahli mesyuarat Biro Politik serta Majlis Tertinggi, PBM dengan ini menerima permohonan Zuraida dan mulai hari ini, secara rasminya beliau adalah ahli PBM.

"Atas permintaan akar umbi PBM, Biro Politik dan Majlis Tertinggi juga berbincang serta sebulat suara membuat keputusan untuk mengangkat Zuraida sebagai 'Presiden pengganti' bagi memacu pembangunan dan perkembangan PBM untuk masa akan datang.

"PBM turut memberi mandat kepada Zuraida untuk mengetuai delegasi bertemu pemimpin parti lain (untuk berbincang) dari segi keahlian dan gabungan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Zuraida dan Setiausaha Agung PBM, Nor Hizwan Ahmad.

Ditanya kedudukannya dalam PBM selepas jawatan Presiden diserahkan kepada Zuraida pula, Larry berkata, perkara itu akan dibincangkan sepanjang proses peralihan kepimpinan menjelang Mesyuarat Agung pada Ogos depan.

Berhubung perbincangan membentuk kerjasama politik dengan parti lain, Larry berkata, perkara itu ditentukan sebuah jawatankuasa yang dianggotai beliau bersama Zuraida dan Hizwan.

Mengenai kemungkinan Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lain menyertai PBM, Larry mengaku ada beberapa wakil rakyat bakal berbuat sedemikian, namun akan memaklumkan perkara itu kemudian.

"Kami terbuka untuk menerima sesiapa saja yang layak menyertai PBM. Mesyuarat hari ini juga bersetuju mempermudahkan urusan mana-mana pemimpin politik yang ingin menyertai PBM," katanya.

Sementara itu, Zuraida menzahirkan penghargaan kepada pimpinan dan ahli PBM, dan berjanji untuk berkhidmat sebaik mungkin walau di mana beliau diletakkan.

Beliau bagaimanapun tidak mengambil sebarang soalan media, sebaliknya akan mengadakan satu sidang media khas kira-kira seminggu akan datang.

Dalam pada itu, Nor Hizwan memaklumkan, PBM secara rasmi sudah mempunyai lebih 100,000 ahli di 196 kawasan Parlimen, setakat ini, daripada sekitar 300,000 anggota Penggera Komuniti Negara, yang menjadi tunjang kepada pembentukan PBM.

"Kita masih memproses baki permohonan keahlian, selain terus menerima borang keahlian baharu," katanya.

Berita Harian X