PORT DICKSON: Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di semua cabang di Negeri Sembilan sudah selesai dan sedang menunggu keputusan rasmi yang dijangka dikeluarkan esok.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) negeri, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata pemilihan PKR di semua Cabang di Negeri Sembilan sudah diterima.
"Alhamdulillah, semua lapan cabang sudah selesai pemilihan dan kita tunggu keputusan rasmi yang dijangka dikeluarkan pada Ahad ini (esok).
"Kita lega semuanya sudah selesai, pemilihan di seluruh Negeri Sembilan sudah selesai, menunggu keputusan rasmi dan yang penting Negeri Sembilan tiada pemilihan semula," katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka sempena Aidilfitri di Dewan MPPD, semalam.
Beliau turut melancarkan Sambutan Ulangtahun MPPD yang ke-20 tahun dan diperdengarkan lagu korporat MPPD bertajuk, 'Teguh Bersama MPPD'.
Dalam perkembangan lain, Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, sektor pelancongan di Port Dickson semakin pulih sejak ia dibuka pada November tahun lalu.
"Semua hotel sudah beroperasi seperti biasa dan kedatangan pelancong tempatan juga semakin bertambah. Ini berita gembira kepada mereka yang mahu bercuti ke Port Dickson.
"Program pelancongan berjalan seperti biasa dan kita berharap agar ia mendapat sambutan kepada mereka yang sedang merancang untuk bercuti ke Port Dickson yang terkenal dengan Pantai Peranginan Negara," katanya.
Pada majlis sama, Menteri Besar turut merasmikan Bilik Kawalan Operasi Kamera Litar Tertutup bagi mengawasi kawasan sekitar daerah Port Dickson, terutama kawasan tumpuan pelancong.
Turut hadir, Yang Dipertua MPPD, Zamri Mohd Esa; Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed dan EXCO Kerajaan Negeri, Choo Ken Hwa yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Lukut.