Selasa, 10 Mei 2022 | 7:45am
Hajiji mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi GRS di Menara Kinabalu, semalam. - Foto ihsan Jabatan Ketua Menteri Sabah
Hajiji mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi GRS di Menara Kinabalu, semalam. - Foto ihsan Jabatan Ketua Menteri Sabah

GRS bentuk jawatankuasa kerjasama solidariti dengan BN

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membentuk jawatankuasa kerjasama solidariti dengan Barisan Nasional (BN) untuk mengelakkan pertembungan antara kedua-dua parti berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pembentukan jawatankuasa itu ialah antara perkara diputuskan pada mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi GRS, semalam.

"Jawatankuasa kerjasama solidariti GRS dan BN dibentuk kerana kita tahu kerajaan negeri ketika ini adalah GRS-BN. Tujuan kita ialah untuk menyatukan parti dalam GRS dan BN supaya dapat bersama-sama menghadapi PRU akan datang.

"Kalau boleh, tiada pertembungan antara GRS dengan BN," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat itu di Menara Kinabalu, di sini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Menteri merangkap Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) yang juga Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili; dan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Seri Yong Teck Lee.

GRS dibentuk empat parti, iaitu BERSATU, PBS, STAR dan SAPP sebagai gabungan baharu politik Sabah yang bekerjasama dengan BN untuk mentadbir kerajaan negeri.

Seterusnya, Hajiji yang juga Pengerusi GRS turut mengumumkan penyertaan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) diketuai bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, sebagai parti komponen baharu GRS.

Selain itu, Hajiji berkata, GRS mempertimbangkan permohonan beberapa lagi parti lain untuk menyertai GRS, antara lain Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Cinta Sabah (PCS).

"Kita akan membincangkan permohonan daripada parti yang berminat menyertai GRS. Pada mesyuarat hari ini (semalam), kita bersetuju menerima USNO menyertai GRS selepas mereka memohon pada Januari 2021.

"Kita juga menerima permohonan parti lain seperti KDM, LDP dan PCS. Kita sangat menghargai permohonan mereka, namun kita secara konsensus berpendapat memerlukan sedikit masa untuk meningkatkan persefahaman," katanya.

Hajiji yang juga Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah berkata, GRS akan dilancarkan pada 26 Mei ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

GRS didaftarkan secara rasmi oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) pada Mac lalu, dengan BERSATU, PBS, STAR dan SAPP sebagai pengasasnya.

Berita Harian X