Selasa, 12 April 2022 | 11:28am
Datuk Seri Aminuddin Harun.
Datuk Seri Aminuddin Harun.

MB Negeri Sembilan tanding Naib Presiden PKR

SEREMBAN: Saingan merebut jawatan Naib Presiden PKR bertambah sengit dengan terkini, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, pula mengumumkan untuk bertanding mengisi jawatan itu.

Setiausaha PKR Negeri Sembilan, Muhammad Nazri Kassim mengesahkan Aminuddin yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR negeri akan bertanding merebut jawatan berkenaan.

"Pencalonan beliau disokong oleh saya dan Pengerusi MPN PKR Melaka, Halim Bachik," katanya hari ini.

Sebelum ini, Aminuddin mengumumkan akan merebut jawatan Ketua Cabang PKR Port Dickson, sekali gus menyaksikan beliau mencabar Timbalan Pengerusi PKR negeri, Datuk M Ravi.

Ravi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjung dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah penyandang jawatan itu sejak 1999.

Antara pemimpin PKR yang sudah mengumumkan untuk merebut jawatan Naib Presiden parti itu ialah Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid; bekas Ahli Parlimen Kapar, Manivannan Gowin dan Ketua PKR Cawangan Kota Raja, Dr Gunaraj George.

Turut mengesahkan bertanding jawatan sama ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil; Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan Ketua Wanita PKR, Fuziah Salleh.

Sementara itu, Muhammad Nazri mengesahkan beliau akan bertanding merebut jawatan Ketua Cabang PKR Seremban dan akan dicabar Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan merangkap ADUN Ampangan, Datuk Dr Mohamad Rafie Abdul Malek.

Difahamkan, penyandang kerusi itu Senator Datuk Dr Ahmad Azam mengumumkan tidak bertanding jawatan berkenaan.

Pemilihan PKR kali ini buat pertama kalinya diadakan secara hibrid iaitu fizikal dan dalam talian melalui aplikasi ADIL yang diperkenalkan PKR pada 20 Februari lalu.

Proses pencalonan bagi pemilihan PKR 2022 bermula 8 April dan berakhir Ahad lalu membabitkan peringkat cabang di seluruh negara.

Berita Harian X