Selasa, 5 April 2022 | 5:53pm
Aminuddin (kiri) menandatangani plak perasmian Kaunter Bergerak MAINS pada Majlis Pelancaran Bulan Wakaf Negeri Sembilan. - NSTP/AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Aminuddin (kiri) menandatangani plak perasmian Kaunter Bergerak MAINS pada Majlis Pelancaran Bulan Wakaf Negeri Sembilan. - NSTP/AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN

Pemilihan PKR: MB Negeri Sembilan belum buat keputusan

SEREMBAN: Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun belum membuat keputusan sama ada bertanding atau tidak Ketua Cabang Port Dickson pada pemilihan PKR tahun ini.

"Saya akan pertimbang nak bertanding atau tidak. Bulan Ramadan ini banyak masa sikit, saya minta diberi petunjuk dan hidayah. Saya akan maklumkan nanti, sama-samalah tunggu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Bulan Wakaf Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Dalam laporan media sebelum ini, Menteri Besar Negeri Sembilan menegaskan perpindahan keahliannya dari Cabang Tampin ke Cabang Port Dickson pada 31 Januari lalu adalah kehendak sendiri. Namun ramai ahli parti itu dan pemerhati politik menjangkakan Aminuddin bertanding jawatan di Port Dickson.

Dalam pada itu, Aminuddin mengalu-alukan debat antara bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai isu kewangan Sapura Energy Berhad yang disifatkannya perlu diadakan bagi memberi kefahaman kepada rakyat mengenai perkara sebenar yang berlaku.

"Debat juga boleh diadakan bila-bila masa termasuk pada Ramadan, tambahan pula perkara itu membabitkan kepentingan rakyat dan negara. Saya mengalu-alukan apa-apa perdebatan di antara pimpinan, supaya ia berjalan dengan baik dan teratur. Sebagai pemimpin kita perlu sentiasa bercakap benar," katanya.

Berita Harian X