Sabtu, 26 Februari 2022 | 2:08pm
Bekas ADUN Endau dari UMNO yang melompat ke BERSATU, Alawiyah Talib.
Bekas ADUN Endau dari UMNO yang melompat ke BERSATU, Alawiyah Talib.

Alwiyah lawan Ketua Bahagian UMNO

MERSING: Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau, Alwiyah Talib dari Perikatan Nasional (PN), menghadapi tentangan daripada Ketua UMNO Bahagian Mersing, Mohd Youzaimi Yusof (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, pada 12 Mac ini.

Alwiyah, 61, juga ditentang Mohamad Fakrulradzi Mahmud daripada Pakatan Harapan (PH) dan Mohd Noorhisyam Ibrahim daripada Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), selain Ismail Don (Bebas) di Pusat Penamaan Calon di Dewan Serbaguna Endau, di sini.

Alwiyah, sebelum ini bersama dua ADUN BN, iaitu Rasman Ithnain (bekas ADUN Sedili) dan Rosleli Jahari yang juga bekas ADUN Johor Lama, keluar daripada UMNO dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada Mei 2018.

Alwiyah, meraih sebanyak 7,136 undi dan menang dengan majoriti 3,080 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), menewaskan Norul Haszarul Abu Samah (PKR) yang meraih 4,056 undi dan Roslan Nikmat (PAS) yang meraih 3,689 undi.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda MIC Kebangsaan, Raven Kumar, 39, bertanding mempertahan kerusi Tenggaroh yang dimenanginya pada PRU-14 lalu.

Anak kepada bekas Timbalan Pengerusi MIC Johor, Datuk S Krishnasamy yang ditembak mati pada tahun 2008 itu, dicabar Roslan Nikmat (PN), Zulinah Johari (PKR) dan Mohd Firdaus Abd Rahman (PEJUANG).

Pada 2018, Raven Kumar meraih sebanyak 12,309 undi dan menang dengan 5,765 majoriti undi.

Berita Harian X