Sabtu, 26 Februari 2022 | 12:00pm
Maszlee berdepan saingan daripada Mutalib Rahim (BN), K Alagathiran (PN) dan Ahmad Shafiq Othaman (PEJUANG). - Foto NSTP/ESSA ABU YAMIN
Maszlee berdepan saingan daripada Mutalib Rahim (BN), K Alagathiran (PN) dan Ahmad Shafiq Othaman (PEJUANG). - Foto NSTP/ESSA ABU YAMIN

Empat penjuru di Machap, Layang-layang, Paloh, Kahang

KLUANG: Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap, Layang-layang, Paloh dan Kahang menyaksikan persaingan empat penjuru dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac nanti.

Bagi DUN Machap, bekas EXCO kerajaan negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi daripada Barisan Nasional (BN) bakal berdepan saingan daripada Azlisham Azahar dari Perikatan Nasional (PN); calon parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), R Sangaran dan calon Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) yang juga Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Shahruddin Md Salleh.

Bagi DUN Layang-layang, Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik (PKR) berdepan saingan daripada Mutalib Rahim (BN) yang juga bekas EXCO kerajaan negeri, di samping K Alagathiran (PN) dan Ahmad Shafiq Othaman (PEJUANG).

DUN Paloh menyaksikan calon penyandang kerusi, Sheikh Umar Bagharib daripada Pakatan Harapan (PH) yang juga bekas EXCO kerajaan negeri, berdepan tentangan daripada V Selvendran (PN), Teoh Yap Kun (BN) dan Aminuddin Johari (PEJUANG).

Bekas EXCO kerajaan negeri yang juga penyandang DUN Kahang, R Vidyanathan (BN) pula bakal dicabar Daud Yusof (PN), Rohani Banu Abd Rahman Krishnan (PH) dan Rosdi Amir (PEJUANG).

Persaingan tiga penjuru berlaku bagi DUN Mengkibol dan Mahkota.

Penyandang kerusi Mengkibol, Chew Chong Sin (PH) bakal ditentang Wong Chan Giap (PN) dan Chin Sim Lai (BN).

Bagi DUN Mahkota, Mohamad Nor Lingan (PN) dan Muhammad Taqiuddin Cheman (PH) yang juga bekas ADUN Pulai Sebatang, bakal menghadapi tentangan bekas Ketua Wanita UMNO Johor, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain (BN) yang juga bekas ADUN Penawar.

Berita Harian X