Ahad, 13 Februari 2022 | 11:30am

Sumpah laknat tak ganggu siasatan

JOHOR BAHRU: Sumpah laknat dilakukan seorang wanita berhubung dakwaan kes gangguan seksual Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain, semalam, tidak akan mengganggu siasatan polis.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata sumpah laknat hak pengadu, tidak menjejaskan siasatan secara adil dan saksama.

Katanya, kes terbabit masih lagi dalam siasatan dan ada beberapa perkara yang perlu dilengkapkan.

"Berhubung sumpah laknat, itu hal peribadi dia (pengadu). Siasatan tetap akan diteruskan secara adil dan saksama," katanya.

Sabtu lalu, media melaporkan seorang wanita berusia 27 tahun membuat pengakuan bersumpah berhubung dakwaan kes gangguan seksual membabitkan ADUN Sedili, Rasman Ithnain.

Pada 17 Januari lalu, laporan polis terhadap Rasman dibuat pengadu, sebelum tular dalam media sosial yang mendakwa diganggu secara seksual oleh ADUN terbabit ketika bantuan kepada mangsa banjir di Kuala Sedili, Kota Tinggi, Sungai Ara, Mersing dan Bukit Kepong, Muar.

Pada 18 Januari, Rasman yang juga Ketua BERSATU Bahagian Kota Tinggi menafikan dakwaan itu dan menyifatkan ia sebagai satu konspirasi politik untuk mencemarkan reputasinya.

ADUN Sedili, Rasman menafikan melakukan gangguan seksual. - Foto NSTP
ADUN Sedili, Rasman menafikan melakukan gangguan seksual. - Foto NSTP
Berita Harian X