Ahad, 6 Februari 2022 | 10:50am
Gambar hiasan. - Foto fail NSTP
Gambar hiasan. - Foto fail NSTP

Srikandi BERSATU Sabah sokong pertahan GRS

KOTA KINABALU: Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah menyambut baik kenyataan disuarakan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengenai kedudukan Gabungan Bersatu Sabah (GRS) yang perlu dipertahankan.

Ketua Srikandi BERSATU Sabah, Datuk Azizah Mohd Dun, berkata beliau yakin perkara itu mampu dicapai walaupun GRS dibentuk daripada pelbagai parti berbeza perjuangan masing-masing.

Katanya, kerjasama semua parti dalam gabungan berkenaan seperti disuarakan Bung Moktar sebelum ini dapat menjamin kedudukan kerajaan GRS dalam menunaikan tanggungjawab kepada rakyat yang memberi mandat.

"Rakyat sudah meletakkan kepercayaan dan aspirasi yang tinggi kepada kerajaan yang ada hari ini. Justeru, kita perlu menghargai kepercayaan itu dengan kesungguhan bekerja untuk memajukan Sabah.

"Usaha ini bukan sahaja mampu menstabilkan politik dan kerajaan Sabah tetapi juga mampu membantu melonjakkan lagi perkembangan ekonomi dan kemajuan negeri," katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau mengulas kenyataan Bung Moktar semalam mengenai kedudukan GRS yang diyakininya mampu dipertahankan jika ada kesepakatan yang padu dalam kalangan pemimpin serta wakil rakyatnya walaupun gabungan berkenaan dianggap rapuh.

GRS dibentuk bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada September 2020 menerusi kerjasama Perikatan Nasional (PN) dengan Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Selain BERSATU, PN Sabah dianggotai Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan PAS, manakala BN Sabah merangkumi UMNO, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), MCA dan MIC.

Sebelum ini, pelbagai pihak menyokong cadangan untuk mendaftarkan GRS sebagai sebuah gabungan politik rasmi, namun setakat ini hanya UMNO Sabah belum memberikan kata putus.

Sementara itu, Azizah yang juga Ahli Parlimen Beaufort, berkata Srikandi BERSATU Sabah masih berharap supaya GRS dijadikan gabungan yang sah bagi memudahkan gerak kerja kerajaan dan parti dalam mendekati serta menyelesaikan pelbagai isu rakyat.

Beliau berkata, pihaknya mahu gabungan itu menjadi satu gabungan yang kuat dan erat bekerja demi Sabah.

"Masa depan rakyat Sabah bergantung kepada kerajaan yang kuat dan stabil. Itu yang menjadi asas kepada kelancaran pentadbiran dan pembangunan rakyat," katanya.

Berita Harian X