Ahad, 16 Januari 2022 | 2:37pm
Ada hampir 6 juta pengundi muda dalam PRU akan datang. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Ada hampir 6 juta pengundi muda dalam PRU akan datang. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Pengundi 18 tahun penentu kerajaan

PORT DICKSON: Lebih 5.8 juta warganegara berumur 18 tahun, iaitu pengundi secara automatik akan menjadi penentu parti memerintah selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pada masa sama, Barisan Nasional dan Pakatan Harapan (PH) dijangka mengubah agihan kerusi mengikut calon yang sesuai dengan komposisi umur serta kaum pengundi di setiap Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata perubahan pola pengundi dan kriteria calon Parlimen dan DUN akan mengambil kira kehendak pengundi berumur 18 tahun.

Katanya, ini susulan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memperaku dan mewartakan daftar pemilih pengundi 18 tahun ke atas, selepas pindaan Perlembagaan Persekutuan.

"Mereka ini akan menjadi penentu kerajaan mana yang akan gugur dan diangkat, termasuk pemimpin mana yang akan diangkat ataupun dicampak. Itu kuasa mereka.

"Jadi PRU kali ini amat menarik dan tiada siapa pun pada hari ini boleh mengatakan 'aku akan menang'. Tetapi inilah penentu yang akan menentukan masa depan.

"Itulah cabaran pada parti dan ahli politik ketika ini," katanya kepada ketika ditemui selepas merasmikan konvensyen wanita PH Negeri Sembilan 2022 di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Wanita PH Negeri, Nicole Tan Lee Koon.

Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, PH optimis mempertahan 20 kerusi DUN di negeri ini yang dimenangi parti ini pada PRU-14.

"Selain itu, kita sedang bekerja kuat untuk menambah bilangan kerusi bagi mentadbir kerajaan negeri untuk penggal akan datang.

"Kita ada beberapa tempat yang berpotensi untuk menang. Kehadiran pengundi muda nanti juga, saya nampak kita ada peluang terbuka. Semua pihak harus bekerja dan tidak harus mendabik dada. Peluang tetap ada," katanya.

Sementara itu, Nicole dalam ucapannya berkata, jentera wanita akan bersiap siaga untuk memperkuat jentera PH memjelang PRU-15.

"Percayalah gabungan mantap parti-parti anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (AMANAH) dan DAP dalam PH dipandang dengan penuh harapan oleh rakyat dan rakyat menilai pencapaian kita," katanya.

Aminuddin (tengah) di Konvensyen Wanita PH Negeri Sembilan 2022 di Port Dickson. - Foto NSTP/MOHD KHIDIR ZAKARIA
Aminuddin (tengah) di Konvensyen Wanita PH Negeri Sembilan 2022 di Port Dickson. - Foto NSTP/MOHD KHIDIR ZAKARIA

Berita Harian X