Rabu, 27 Oktober 2021 | 4:22pm
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan. - Foto BERNAMA
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan. - Foto BERNAMA

9 daripada 10 tidak mahu UMNO bersama BERSATU

KUALA LUMPUR: Majoriti akar umbi UMNO tidak mahu parti itu mengadakan kerjasama dengan parti BERSATU pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, bulan depan.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata itu adalah ukuran yang dilihatnya membabitkan pandangan akar umbi berhubung penerimaan dalam kerjasama antara parti pada pilihan raya berkenaan.

"Nampaknya kalau kita letak ukuran 10, sembilan daripadanya tidak mahu UMNO bersama dengan BERSATU. Bagaimanapun, itu pandangan secara umum.

"Parti akan ambil pandangan semua dan maklum balas, kita akan teliti, kita buat pengiraan untung ruginya, kalau bersama macam mana, kalau tak bersama macam mana, itu semua diambil kira," katanya kepada BH, hari ini.

Mohamad berkata, isu kerjasama dengan parti lain akan dibincangkan pada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam esok.

Katanya, mesyuarat juga akan membentangkan persiapan parti untuk menghadapi PRN Melaka.

Ditanya mengenai kerjasama Muafakat Nasional (MN), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu berkata, kerjasama berkenaan banyak bergantung kepada PAS.

"Kita sentiasa menghulurkan tangan, tetapi PAS kena buat keputusan sama ada mahu bersama Perikatan Nasional (PN) atau dengan MN.

"Kita minta PAS buat keputusan, jangan pula UMNO dilihat sebagai yang tidak mahu. Sebenarnya, kita sudah katakan terpulang kepada PAS, kita sentiasa menghulurkan tangan.

"Malah, pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini pun kita sudah menyatakan tidak akan mengadakan kerjasama dengan BERSATU, tetapi kita mahu terus mengukuhkan MN. Jadi itu terpulang kepada mereka (PAS)," katanya.

Berita Harian X