Jumaat, 16 Julai 2021 | 9:01pm

UMNO perlu kekal bersama PN

KUALA LUMPUR: UMNO perlu menentukan halatuju lebih jelas sebagai sebuah parti berpengalaman untuk mendepani persekitaran kesihatan dan ekonomi negara yang serba mencabar dengan menonjolkan keupayaan kepimpinannya, bukannya mencetuskan pergolakan politik yang tidak berkesudahan.

Pensyarah Fakulti Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Syed Alsagoff, berkata UMNO perlu menggunakan kesempatan yang ada dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk membuktikan mereka mempunyai idea, pandangan yang jelas dan kepakaran untuk mendepani gelombang pandemik yang kini sudah memberi kesan teruk kepada kehidupan rakyat.

"Inilah masanya untuk UMNO buktikan. Saya tidak nampak kenapa UMNO harus memusuhi dan menjauhi Perikatan Nasional (PN), malah tindakan ini (tarik sokongan kepada PN) lebih dilihat orang ramai sebagai tanda kekesalan presiden kerana tidak diberi jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri.

"Ini sebab, secara rasionalnya apabila Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diberi tanggungawab sebagai Timbalan Perdana Menteri, ketika itu juga UMNO mahu memutuskan untuk keluar dan tidak mahu beri sokongan kepada PN dan Perdana Menteri.

"Saya nampak tidak ada alasan kukuh mengapa UMNO harus berjauhan dari PN," katanya pada seminar Webinar PINTAR 10 : Penarikan Diri UMNO Dari Kerajaan - Ke Manakah Hala Tuju UMNO? yang disiar secara maya hari ini.

Turut menjadi panel pada program dihoskan Dr Kamarul Zaman Yusoff itu adalah pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan Dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Achmad Dzariean Mohd Nadzri; Pensyarah dari Jabatan Pengajian Politik dan Pentadbiran Universiti Malaya (UM), Dr Muhammad Asri Mohd Ali serta Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran (FEP), Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub.

Katanya, kedudukan UMNO kini memberi peluang lebih besar untuk parti itu menyusun strategi menambat hati rakyat dan pengundi, pada masa sama menampilkan reputasi yang baik untuk berhadapan dengan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

"Tidak semestinya UMNO kena menarik diri dari kerajaan PN, sebab ia hanya akan menghakis undi rakyat. Sepatutnya UMNO terus bagi idea dan pandangan supaya PN dilihat dapat bertindak dengan lebih efisyen dari usaha UMNO. Perlu ada satu rundingan strategi yang mana UMNO dan PN ini boleh berperanan secara bersama," katanya.

Sementara itu,Muhammad Asri berkata, sukar bagi mana-mana kerajaan pun di dunia ketika ini untuk mengurus COVID-19 dengan berjaya, dengan negara maju dan kaya kini turut bergelut untuk mencari jalan keluar daripada pandemik ini.

Justeru katanya, melabelkan secara mudah mana-mana kerajaan gagal bukan cara yang wajar, kerana penyelesaian tuntas kepada isu COVID-19 ini memerlukan komitmen semua pihak, tanpa mengira parti politik dan kecenderungan berpolitik.

"Rakyat kini tidak hirau dengan politik. Kita tidak boleh terus meletakkan percaturan politik sebagai satu keutamaan ketika ini. Jika dilihat pandemik hari ini pula, di UK (United Kingdom) dan Jepun, mereka juga berdepan gelombang ketiga, malah sudah keempat barangkali, mereka juga sudah dan sedang laksana darurat macam kita.

"Di Indonesia juga sama satu kepulauan Jawa dan Bali dilaksana darurat. Jelas, bahawa (COVID-19) ini diluar kawalan kita. Sebab pergerakan manusia, kesedaran manusia dan keupayaan virus itu sendiri bukan dikawal oleh kita," katanya.

Beliau berkata, hari ini juga, masyarakat bimbang bukan saja berkenaan masalah kesihatan, tapi kesan dari itu terutama tahap inflasi kini dilihat semakin meningkat dan ini amat menjejaskan kualiti kehidupan rakyat secara keseluruhannya.

Berita Harian X